Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

284) PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. MOU mengenai penstrukturan semula air Selangor telah pun ditandatangani di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Apakah kesannya terhadap kos pengambilan alih air yang ditanggung oleh Kerajaan Selangor berikutan persetujuan tersebut ?

    Memorandum Persefahaman bertarikh 26 Februari 2014 adalah menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri Selangor untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan krisis industri air yang telah mencapai tahap kritikal bagi mengelakkan kepentingan rakyat terjejas.

    Dalam apa keadaan sekalipun, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berpegang kepada pendirian untuk merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

    Hasrat Kerajaan Negeri  Selangor ini adalah jauh berbeza dari matlamat syarikat Pemegang Konsesi Air  sedia ada yang sentiasa meletakkan keuntungan syarikat sebagai keutamaan.

    Dalam menentukan nilai yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi air sedia ada,  Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan kepentingan pengguna dan pada masa yang sama tidak merugikan mana-mana pihak. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor berpegang kepada prinsip Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang telah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada 30 Jun 2008 seperti berikut:-

    “Kementerian ini amat peka kepada implikasi dan kesan pengambilalihan aset dan tanggungan pada harga yang tinggi dan tidak kos efektif.  Ia akan menyebabkan kadar sewa pajak yang tinggi dan yang akhirnya akan turut dirasai oleh pengguna melalui kadar tarif air yang tinggi.  Oleh yang demikian, kementerian ini akan memastikan keadaan tersebut tidak berlaku semasa proses pengambilalihan aset dan tanggungan air terutamanya yang melibatkan syarikat konsesi air.”

    Oleh yang demikian, telah dimaktubkan di dalam Memorandum Persefahaman tersebut bahawa nilai pengambilalihan syarikat konsesi air adalah sebanyak RM9.65bilion. Selain dari segi nilai, juga telah dipersetujui bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) akan membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan pengambilalihan ekuiti Syarikat-syarikat Konsesi.

Lampiran

Tiada Lampiran.