Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

109) PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini penstrukturan industri air Selangor?

    a) dan b)

     

    Pada 10 Julai 2015 yang lalu merupakan tarikh bersejarah untuk rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor kerana telah berjaya meterai perjanjian tambahan ke atas perjanjian utama. Pada tarikh ini kerajaan Negeri telah berjaya merungkai kemelut panjang industri perkhidmatan air dan akhirnya, Alhamdulillah rakyat negeri berjaya memiliki semula perkhidmatan air untuk diurus secara holistik ke arah perkhidmatan yang mementingkan kelulusan, kebertanggungjawaban, efisien, kos efektif serta dikawal penuh oleh Kerajaan Negeri. Lanjutan daripada itu pada 15 Oktober 2015 pengurusan Air Selangor Sdn Bhd atau Air Selangor dengan rasminya telah mengambil alih urusan operasi di SYABAS dan Puncak Niaga Malaysia Sdn Bhd. Seperti yang telah saya janjikan dalam Dewan ini pada minggu yang lalu, maka pada 9 November 2015 saya bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah turun ke ibu pejabat SYABAS, iaitu setelah 26 hari Air Selangor mengambil alih syarikat yang berkenaan. Dalam pertemuan di ibu pejabat SYABAS, kerajaan Negeri telah pun diberikan taklimat oleh pengurusan yang baru dan ada beberapa perkara yang kita telah kenal pasti:

     

    Pertama, kita dimaklumkan secara umumnya tenaga kerja SYABAS dan PUNCAK NIAGA mempunyai kemahiran yang tertentu dalam bidang-bidang yang telah mereka lakukan selama beberapa tahun. Maka Kerajaan Negeri telah pun memberi jaminan bahawa warga kerja SYABAS dan juga PUNCAK NIAGA akan terus kekal berkhidmat di bawah pengurusan yang baru tetapi ada kemungkinan beberapa fungsi kerja mereka itu perlu diperjelaskan supaya ia nya lebih efektif dan berkesan.

     

    Yang keduanya untuk makluman Dewan dua orang pengurusan tertinggi SYABAS telah pun ditamatkan perkhidmatan mereka berdasarkan rundingan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

    Yang ketiga saya juga telah mengumumkan bahawa mulai tahun ini, 2015, kita, AIR Selangor akan mengeluarkan laporan tahunan bagi syarikat SYABAS dan PUNCAK NIAGA yang kedua-duanya tidak pernah mengeluarkan laporan tahunan untuk pengetahuan umum.

     

    Yang keempat, ada beberapa strategi dan business plan yang telah dikenal pasti : Pertama untuk melihat semula aset-aset air yang dimililiki oleh syarikat- syarikat ini, dan keperluan untuk membaik pulih menaiktaraf aset-aset yang berkenaan supaya mereka dapat mengeluarkan satu kapasiti yang lebih besar dan lebih efektif. Kemudian kita juga meneliti sistem pengagihan yang lebih cekap supaya ia dapat

    diagihkan secara adil kepada semua daerah. Seterusnya isu NRW juga menjadi isu penting yang telah kita bincangkan dan langkah-langkah proaktif sudah dikenal pasti bagi menangani masalah NRW yang kian meningkat, sudah mencatatkan angka ke 34% dan pastinya ia akan memberikan kesan kepada Kerajaan Negeri dan juga pengguna. Dan saya juga sebelum ini telah mengumumkan bahawa dua loji rawatan baru akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri sebanyak oleh RM800 juta iaitu di Labohan Dagang dan juga di Semenyih 2 bagi menampung keperluan kemungkinan kekurangan air ekoran kelewatan pembinaan Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2017 tetapi kita dimaklumkan mungkin berlaku kelewatan sehingga 2019. Dan yang akhirnya saya telah memberikan semangat dan motivasi kepada warga kerja SYABAS dan PUNCAK NIAGA bahawa mereka juga yang akan menentukan kejayaan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan industri ini dapat dilaksanakan secara holistik dan lebih efektif.

    YB., saja juga ingin memaklumkan bahawa pengambilalihan SPLASH masih belum dimuktamadkan kerana pemegang-pemegang saham utama SPLASH telah menolak tawaran awal yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri maka Kerajaan Negeri telah pun melantik penilai bebas untuk membantu Kerajaan Negeri melihat apakah nilai yang adil untuk diberikan pertimbangan dalam pengambilalihan SPLASH kelak. Di dalam perjanjian Air Selangor telah…didalam perjanjian utama yang telah ditandatangani telah diperuntukkan bahawa Air Selangor hendaklah memastikan bahawa ia akan berusaha untuk memperolehi ekuiti dalam dua syarikat, syarikat SPLASH dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh penyelesaian. Dan dalam perjanjian utama juga telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan juga hendaklah dengan sedaya upaya memudahkan Air Selangor memperolehi SPLASH dan memandangkan tempoh rundingan dengan SPLASH akan berakhir pada September 2016 maka perbincangan di antara Air Selangor dengan SPLASH masih lagi berjalan.

    Akhirnya untuk makluman YB harga tawaran untuk pengambilalihan tiga buah syarikat pemegang konsesi air keseluruhan berjumlah RM1.68 bilion iaitu RM1.07 bilion untuk pengambilalihan Puncak Niaga dan RM0.52 bilion t untuk SYABAS dan RM0.09 bilion untuk ABASS.

Lampiran

Tiada Lampiran.