Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

135) PENSTRUKTURAN SEMULA AIR NEGERI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila huraikan apakah perkembangan terkini usaha rundingan penstrukturan semula industri air tersebut ?

    1. Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan rundingan bersama dengan keempat- empat syarikat pemegang konsesi air antara 25 hingga 29 Mei 2009. Tawaran pengambilalihan syarikat konsesi air menggunakan Model holistik Kerajaan Negeri Selangor diterima oleh SPLASH dan ABASS, manakala SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. menolak tawaran

     

    Lanjutan tidak mendapat persetujuan dari kesemua syarikat pemegang konsesi ke atas Model holistik Kerajaan Negeri Selangor, pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air (KTTHA) telah bersetuju supaya Model Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) digunakan untuk proses penstrukturan semula di Selangor.

     

    Di bawah Model PAAB ini, SYABAS akan  dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan   Air Negara (SPAN) sebagai operator agihan manakala ABASS, SPLASH dan Puncak Niaga dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN. Di bawah Model PAAB ini juga, pegangan ekuiti Kerajaan Negeri Selangor di dalam SYABAS akan ditingkatkan dari 30% kepada 49% manakala pegangan ekuiti Puncak Niaga di dalam SYABAS akan dikurangkan dari 70% kepada 51% dan saham  emas  akan kekal dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.

     

    Penerimaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Model PAAB adalah tertakluk kepada beberapa syarat seperti berikut:-

     

    1. Terma-terma dan syarat-syarat yang menghendaki pengurusan SYABAS yang profesional, berkebolehan dan efisien akan dimuktamadkan di dalam Perjanjian Pemegang Saham yang akan ditandatangani di antara pemegang ekuiti SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor; dan

     

    1. Model PAAB dipersetujui untuk diterima oleh keempat-empat syarikat pemegang konsesi air negeri

     

     

     

     

     

    Antara 16 Mac 2010 hingga 23 Mac 2010, pihak KTTHA telah membuat rundingan bersama kesemua syarikat konsesi air bagi memaklumkan nilai untuk pengambilalihan oleh PAAB. Kesemua syarikat konsesi air diberi tempoh sehingga 06 April 2010 untuk memberikan maklum balas ke atas tawaran tersebut.

     

    Walau bagaimanapun, pihak SPLASH dan ABASS telah mengemukakan maklum balas menolak tawaran oleh KTTHA tersebut. Sekiranya Model PAAB ini tidak dapat diterima oleh kesemua syarikat pemegang konsesi air, maka Kerajaan Negeri Selangor akan mencadangkan supaya Model holistik Negeri Selangor diguna pakai semula dengan mengguna pakai nilai yang ditawarkan oleh KTTHA.

     

    Namun demikian, keputusan akhir sama ada Model holistik negeri Selangor  akan  diterima pakai adalah tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri. Ini adalah kerana melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.