Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

340) PENSTRUKTURAN SEMULA AIR SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah Kerajaan Selangor bersetuju memeterai perjanjian dengan kerajaan Persekutuan

    1) Perkembangan Terkini Penstrukturan Industri Air Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya

    Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa pada 11 November 2014, anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah memuktamadkan pembelian saham dengan Puncak Niaga Holding Bhd (PNHB) sepertimana yang disyaratkan oleh Perjanjian Induk Penstrukturan Air Selangor (Perjanjian Induk Atau Master Agreement) bertarikh 12 September 2014 yang dimeterai di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor.

    Pembelian saham dari PNHB ini melibatkan syarikat pemegang konsesi air iaitu SYABAS dan Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB). Dengan persetujuan pembelian saham ini, sebahagian besar operasi dan aset bekalan air akan kembali kepada rakyat. Kerajaan Negeri yang telah diberi amanah oleh rakyat, akan mentadbirnya dengan penuh hemah demi kebaikan rakyat. Kerajaan Negeri melalui Air Selangor akan mula mengambil alih dan menyusun semula operasi SYABAS dan PNSB.

    Langkah seterusnya di dalam proses penstrukturan industri air ini ialah memuktamadkan pengambilalihan dua (2) lagi syarikat konsesi iaitu ABASS dan SPLASH yang juga akan mengikut kerangka dasar yang menjamin kepentingan rakyat Selangor.

    2) Terma-terma Perjanjian

    Pada umumnya terma-terma umum perjanjian air di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan antaranya adalah:

    1. Persetujuan untuk saling memudahcara bagi menjayakan penstrukturan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor, Wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya;

     

    1. Penyaluran pembiayaan untuk urusan pengambilalihan ekuti syarikat-syarikat konsesi;

     

    • Persetujuan untuk sewa-pajak aset-aset bekalan air;

     

    1. Penyerahan pengendalian dan penyelenggaraan (operation and maintainance) industri perkhidmatan air kepada SPV milik Kerajaan Negeri Selangor;

     

    1. Pemberian lesen perkhidmatan kepada SPV milik Kerajaan Negeri Selangor; dan

     

    1. Kebenaran pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) serta penubuhan Jawatankuasa Pemantauan

    Dalam hal ini, saya telah menegaskan pendirian supaya Kerajaan Negeri Selangor dilibatkan secara langsung dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaksanaan pembangunan LRAL2 dan Sistem Agihan.

    3) Isu Tarif dan Manfaat Jangka Pendek dan Jangka Panjang kepada Rakyat

    Usaha dan matlamat Kerajaan Negeri Selangor untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor adalah bertujuan semata-mata untuk memastikan kepentingan rakyat terjamin. Kesemua operator rawatan air dan operator agihan yang ada pada ketika ini adalah merupakan syarikat swasta yang mana bagi syarikat swasta keuntungan merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan.

    Melalui penstrukturan semula ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor akan menjadi operator perkhidmatan air yang baru. Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, pemantauan dan kawalan secara langsung akan diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk memastikan bahawa Air Selangor beroperasi dengan mementingkan kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan.

    Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kuasa sepenuhnya untuk memantau agar Air Selangor mendapat one time profit, yang mana keuntungan yang akan dijana adalah tidak melampaui. Dengan keuntungan yang tidak melampaui, Air Selangor dapat mengekalkan kadar tarif yang munasabah. Kenaikan tarif di dalam operasi memang tidak dapat dihalang berikutan dengan kenaikan kos bahan mentah dan kos operasi, namun kenaikan tarif tersebut akan dipastikan munasabah.

    Selain dari itu, Air Selangor akan beroperasi secara holistik dan ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing) bagi tujuan memastikan kos operasi yang tidak membebankan kerana setiap kos yang dibelanjakan oleh Air Selangor akan dipantau secara langsung melalui kuat kuasa Akta Industri Perkhidmatan Air, 2006 (Akta 655). Air Selangor tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi bagi pembelian air terawat seperti mana keadaan pada masa ini.

    Di bawah rejim pelesenan, SPAN melalui peruntukkan di bawah Akta 655 boleh mengesyorkan kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan aras kadar yang hendak dicajkan bagi perkhidmatan air termasuk kadar air pukal dan kadar tarif air.

    Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri. Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.

    4)Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL 2)

    Selepas sahaja MOU ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada 26 Februari 2014, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) telah mengeluarkan Kebenaran Merancang bagi pelaksanaan Projek Langat 2 untuk komponen kerja Loji Rawatan Air, Tangki Imbangn Hulu Langat, Tangki Imbangan Bukit Enggang, Kolam Sg Besi, Outlet Portal dan Loji Rawatan Enap Cemar dan Tapak Pelupusan.

    Seterusnya, Kerajaan Negeri Selangor pada 4 September 2014, telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat

    1. Kebenaran Merancang telah diberikan oleh Majlis Perbandaran Kajang kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selaku pelaksana Projek Langat 2 ini.

    Pada ketika ini, kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh PAAB adalah masih di peringkat Kerja Awalan seperti Kerja-kerja pembersihan tapak.

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor akan mencari dan mengguna ruang yang ada untuk memastikan penstrukturan industri air ini memberi nilai terbaik kepada rakyat secara menyeluruh. Ruang yang saya maksudkan ini termasuklah memastikan pembinaan LRAL2 yang melibatkan kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan, akan dinilai secara objektif oleh wakil-wakil Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak ada unsur pembaziran yang kelak membebankan rakyat.

    Berkenaan dengan pelaksanaan Projek Langat 2, Kerajaan Negeri Selangor amatlah menitik beratkan supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan mendukung prinsip berasaskan value for money. Prinsip value for money itu hendaklah dilihat bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal projek tetapi juga mengambil kira kos operasi yang akan terlibat di masa akan datang kerana setiap kos yang terlibat itu akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif air yang akan ditanggung oleh rakyat umum.

     

    Pada ketika ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan akan pewujudan Jawatan Kuasa Pemandu dan Jawatan Kuasa Kerja Teknikal yang melibatkan wakil-wakil dari Kerajaan Negeri Selangor untuk meneliti pelaksanaan pembangunan Projek LRAL 2 ini.

     

    Dalam hal ini, saya telah menegaskan pendirian supaya Kerajaan Negeri Selangor dilibatkan secara langsung dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaksanaan pembangunan LRAL2 dan Sistem Agihan.

     

    • Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water ,NRW)

     

    Setelah berjaya memuktamadkan penstrukturan industri air ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menggariskan tugas utama yang perlu digalas oleh Air Selangor antaranya untuk memberi tumpuan kepada usaha untuk mengurangkan kadar NRW. Kerajaan Negeri sentiasa berpendirian bahawa NRW adalah sesuatu yang merugikan rakyat. Oleh itu wajarlah tumpuan diberikan untuk menurunkan kadar NRW.

     

    Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semasa permulaan Perjanjian Konsesi SYABAS pada 01 Januari 2005 adalah pada tahap 42.78%. Di bawah Perjanjian Konsesi SYABAS yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan SYABAS, SYABAS telah memberikan aku janji untuk menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) sehingga 15% menjelang tahun 2015. Sasaran NRW yang perlu diturunkan oleh SYABAS berdasarkan kepada tarikh semakan tarif adalah seperti berikut:-

     

     

    Tarikh Semakan Tarif NRW disasarkan Penurunan NRW
    01 Januari 2006 37.78% 5%
    01 Januari 2009 27.98% 9.80%
    01 Januari 2012 19.98% 8.00%
    01 Januari 2015 15.48% 4.50%
    01 Januari 2018 15.00% 0.48%
    01 Januari 2021 15.00% Kekal
    01 Januari 2024 15.00% Kekal
    01 Januari 2027 15.00% Kekal
    01 Januari 2030 15.00% kekal

    Namun demikian, NRW yang berjaya dicapai oleh SYABAS sehingga 2013 adalah pada tahap 34.5% sahaja.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.