Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

233) PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah halangan yang dihadapi Kerajaan Selangor dalam perkara tersebut?

    Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi.  Sebagai keutamaan di dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula ini, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menitik beratkan faktor kepentingan pengguna dan nilai fair market value yang akan ditawarkan kepada Syarikat Konsesi Air supaya hasil dari penstrukturan itu kelak tidak membebankan pengguna dan tidak merugikan mana-mana pihak.

    Bagi merealisasikan cadangan penstrukturan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran bagi mengambil alih Syarikat Konsesi Air sebanyak tiga (3) kali, ringkasan tawaran yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah  seperti berikut:-

    GROSS   ABASS   SPLASH   PUNCAK   SYABAS   TOTAL
    (RM/juta)          
    Tawaran (1)

    13.02. 2009

    525 2,064 1,608 1,512 5,709
    Tawaran (2)

    25. 06.2009

    946 2,975 1,936 3,361 9,218
    Tawaran (3) 06 .01.2011 402 2,772 2,040 4,013 9,227

    Syarikat Konsesi Air telah menolak tawaran yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.

    Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan mana-mana pihak.  Kerajaan Negeri Selangor turut mengambil kira elemen-elemen jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh setiap pemegang saham, tempoh pelaburan yang telah dibuat dan pulangan keuntungan yang saksama.  Nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi akan ditentukan selepas proses due diligence disempurnakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juru perunding yang dilantik. Sekiranya wujud perbezaan dan/atau ketidaktepatan ke atas nilai yang dianggarkan selepas proses due diligence disempurnakan, maka nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi akan diselaraskan sebagaimana patut.

    Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa sekiranya nilai yang tinggi ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada operasi  operator baru yang akan dilantik oleh Kerajaan Negeri selepas penstrukturan disempurnakan. Nilai pengambilalihan yang tinggi akan menyebabkan kadar sewa pajakan yang tinggi perlu dibayar oleh operator baru kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).  Kadar sewa pajakan yang tinggi yang akan ditanggung oleh operator yang baru kelak akan menyebabkan kos operasi meningkat dan akhirnya perlu diserapkan dalam bentuk tarif tinggi yang akan ditanggung oleh pengguna rakyat Negeri Selangor. Keadaan ini adalah bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan  Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor juga menghadapi masalah dalam menentukan nilaian aset milik Kerajaan Negeri yang akan diserahkan kepada PAAB.  Melalui penilaian yang dibuat oleh Tetuan Erinco Sdn Bhd, nilaian keseluruhan aset air milik Kerajaan Negeri Selangor dianggarkan bernilai sebanyak RM12.35 bilion. Penilaian yang dibuat oleh PAAB adalah pada anggaran RM1 – 2 bilion sahaja.

    Selain dari isu mengenai nilai tawaran dan nilaian aset, Kerajaan Negeri Selangor juga menghadapi masalah dalam mendapatkan persetujuan YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air mengenai Model Penstrukturan yang hendak diguna pakai.  Kerajaan Negeri Selangor semenjak tahun 2008 telah mengemukakan cadangan penstrukturan melalui Model Holistik yang menjurus kepada perkara-perkara berikut:-

    1. penamatan perjanjian-perjanjian konsesi air sedia ada;
    2. meneliti dan menstrukturkan semula kos-kos operasi terutamanya pembelian air terawat yang pada masa ini amat membebankan;
    3. mengenakan tarif pada kadar yang munasabah dan berdasarkan kepada prestasi dan pencapaian KPI operator pengendali air;
    4. memastikan struktur baru yang diwujudkan selepas penamatan konsesi sedia ada mengutamakan peningkatan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti , daya maju dan kemapanan industri; dan
    5. melibatkan PAAB di peringkat awal dalam proses pengambilalihan dan penyusunan semula ini.

    Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa Model Holistik yang dicadangkan itu tidak akan merugikan mana-mana pihak kerana Model tersebut mempunyai kebaikan seperti berikut:-

    1. Memenuhi ciri-ciri penyusunan semula Industri Perkhidmatan Air yang disarankan oleh Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang telah dilaksanakan di Negeri Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang;
    2. Purata kenaikan kadar tarif yang tidak lebih dari 12% setiap tiga tahun sekali;
    3. Kos operasi yang tidak membebankan dan dianggarkan tidak lebih dari RM0.36 per unit. Syarikat SPV yang baru tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi;
    4. Semua hutang dan pinjaman pemegang konsesi akan diserapkan dalam tanggungan SPV bagi mengurangkan kos bayaran premium kepada Pemegang Bon;
    5. Semakan awal terhadap bayaran pukal dan bayaran tetap/kapasiti caj yang dituntut oleh Pemegang Konsesi sedia ada menunjukkan bahawa Pemegang Konsesi telah mengaut pulangan yang tinggi berbanding kos pembangunan, cukai dan faedah/untung institusi kewangan.  Syarikat SPV baru telah ditetapkan keuntungan minima sahaja sejajar dengan Agenda Merakyat Ekonomi Selangor;
    6. Syarikat SPV tidak dibebankan dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh PAAB. Syarikat SPV akan membayar pajakan kepada PAAB atas aset-aset yang digunakan.

    Walau bagaimanapun, Model Holistik ini masih belum dipersetujui oleh KTTHA. YB Menteri melalui surat bertarikh 12 Oktober 2011 telah menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menghalang Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan penstrukturan secara holistik dengan syarat pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air hendaklah dibuat secara “willing buyer willing seller” dan menghormati perjanjian-perjanjian konsesi yang masih sah dan berkuat kuasa.

    Di dalam surat tersebut juga menyatakan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di dalam melaksanakan pendekatan dua langkah sebagai tidak praktikal dan sukar untuk dipenuhi.  Y.B. Menteri berpandangan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor komited untuk melaksanakan pendekatan “dua langkah”, Kerajaan Negeri Selangor perlu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi air yang bersetuju dengan kaedah pengambilalihan yang dicadangkan berdasarkan “willing buyer willing seller” dan bukannya menetapkan pelbagai syarat untuk dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan.

    Selanjutnya, Y.B. Menteri turut berpandangan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor hanya akan dapat dipenuhi sekiranya Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan persetujuan tanpa syarat terhadap perkara-perkara berikut:-

    • memberikan semua kelulusan yang diperlukan untuk membolehkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dilaksanakan mengikut perancangan; dan
    • meluluskan pelarasan tarif air bagi Negeri Selangor berdasarkan perakuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

    Kerajaan Negeri Selangor masih berpendirian bahawa Projek Loji Rawatan Air Langat 2 boleh dipersetujui pelaksanaannya jika penstrukturan semula air Negeri Selangor dimuktamadkan sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan air yang tidak cekap dan kos operasi yang membebankan rakyat.

    Perkara mengenai penstrukturan semula ini turut dibangkitkan oleh YB Teresa Kok di Parlimen semasa sesi Perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan

    Tambahan (2011) 2012 Peringkat Dasar pada 09 Januari 2012 di mana YB

    Teresa Koh telah meminta supaya KTTHA mengadakan Mesyuarat Jawatan Kuasa Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor bagi membolehkan pengurusan air di Selangor diserahkan kepada Kerajaan Negeri. YB Menteri dalam jawapannya menyatakan bahawa  Mesyuarat Jawatan Kuasa

    Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air hanya akan diadakan sekiranya

    Kerajaan Negeri Selangor dapat mengemukakan cadangan baru atau pendekatan yang berbeza dari Model Holistik yang dicadangkan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Selanjutnya, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di dalam surat kepada YB Menteri bertarikh 17 April 2012, telah menyatakan bahawa pendirian Kerajaan Negeri Selangor mengenai Model Holistik tidak pernah berubah semenjak dikemukakan kepada KTTHA bermula pada Disember 2008.  Model Holistik tersebut adalah satu-satunya Model penstrukturan yang menjadi hasrat utama Kerajaan Negeri Selangor di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri air kerana Model Holistik tersebut memenuhi ciri-ciri penyusunan semula yang di gariskan oleh Kerajaan Persekutuan selaras dengan penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).

    YB Menteri seterusnya melalui surat bertarikh 10 Mei 2012 dan 05 Jun 2012, masih mengulangi pendirian meminta Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan cadangan baru atau pendekatan yang berbeza dari Model Holistik yang pernah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah Senarai 111- Senarai Bersama.  Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

    Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada.  Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

    Hasrat untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air mengikut cadangan Kerajaan Negeri Selangor perlu dilaksanakan kerana cadangan penstrukturan ini adalah memenuhi semua ciri yang ditekankan oleh Kerajaan Persekutuan.  Sekiranya halangan kepada pelaksanaan penstrukturan hanya disebabkan oleh perbezaan nilai yang ditawarkan dan nilai yang ingin diterima oleh Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri bersedia untuk membawa perkara pertikaian mengenai nilai tersebut untuk disemak dan ditentukan oleh satu badan penilai bebas yang akan dilantik berdasarkan kepada persetujuan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Pemegang Konsesi.    Sebarang keputusan yang dibuat oleh badan penilai bebas tersebut adalah muktamad dan akan dipatuhi oleh Kerajaan Negeri dan Pemegang Konsesi.

    Sehingga kini belum ada sebarang persefahaman dicapai di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.