Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

106) PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perkembangan mutakhir Perjanjian Induk yang dimeterai di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan pada 1 Ogos 2014 yang sepatutnya menyaksikan rakyat Selangor dikembalikan segala hak pentadbiran dan pengurusan air sebelum atau pada 15 Januari 2015

    Kerajaan Negeri Selangor masih menghormati dan berusaha untuk menyempurnakan setiap Condition Precedent (CPs) yang telah digariskan di dalam Perjanjian Utama yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ( Air Selangor).

    Namun demikian, Pada 25 Februari 2015, MMKN telah dimaklumkan tentang pendirian Kerajaan Persekutuan yang telah disampaikan pada suatu mesyuarat yang diadakan pada 16 Februari 2015 di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (‘KeTTHA’), di mana dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memuktamadkan bahawa aset-aset air yang terletak di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah hak milik Kerajaan Persekutuan.

    Mengenai pemilikan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, melalui peguam yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri berpendapat bahawa LRA Semenyih dan tapak tanah loji tersebut adalah milik Wilayah Persekutuan Putrajaya seawal 6hb Mac 1996, atau paling tidak sekitar tahun 2000 berdasarkan keterangan dokumen-dokumen yang diteliti seperti berikut:-

    1. Kerajaan Negeri Selangor pada 6 Mac 1996 telah mengeluarkan Suratan Hakmilik Sementara S.(D) 3605 P.T. 9495, Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang meliputi tapak tanah LRA Semenyih;
    2. Pengesahan pemberimilikan kawasan LRA Semenyih tersebut kepada Pesuruhjaya Persekutuan dan seterusnya di dalam kawasan Pentadbiran Putrajaya juga disokong oleh surat Pejabat Daerah/Tanah Sepang bertarikh 3hb Januari 1997; dan
    3. Perjanjian Penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya bertarikh 7 November 2000, Fasal 1, Perkara 1 termasuk peruntukan di mana Kerajaan Negeri Selangor melepaskan semua hak di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya, pada 1 Februari 2001.

    Mengenai pemilikan Loji Rawatan Air Bukit Nanas (‘LRA Bukit Nanas’) pula, didapati bahawa tanah dan LRA Bukit Nanas juga milikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 1hb Feb 1974 berdasarkan keterangan dokumen-dokumen berikut:-

    1. Menurut Fasal I, Perkara I Perjanjian Berhubung Dengan Penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kedaulatan Kerajaan Negeri Selangor ke atas kawasan-kawasan yang termasuk dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhenti dari 1 Februari, 1974;
    2. Fasal 1 Perkara I kepada Perjanjian Berhubung Dengan Perkiraan Kewangan bertarikh 23hb Mei, 1981 pula memperuntukkan pembayaran RM3.550 bilion kepada Negeri Selangor sebagai balasan untuk semua harta alih dan tak alih yang terletak dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan
    3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan di mana Artikel 1 (4) memperuntukkan “(4) the territory of the State of Selangor shall exclude the Federal Territory of Kuala Lumpur established under the Constitution (Amendment) (no. 2) Act 1973 [Act A206] and the Federal Territory of Putrajaya established under the Constitution (Amendment) Act 2001 [Act A1095] and the territory of the State of Sabah shall exclude the Federal Territory of Labuan established under the Constitution (Amendment) (no. 2) Act 1984 [Act A585], and all such Federal Territories shall be territories of the Federation.”

    Selain dari isu pemilikan aset-aset air yang terletak di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang ditegaskan sebagai hak milik Kerajaan Persekutuan,  isu utama yang dipertikaikan oleh Kerajaan Negeri adalah mengenai pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa pemindahan hak milik aset-aset air syarikat konsesi yang akan dipindah milik kepada PAAB perlu dipindahkan bersama-sama hak milik tapak tanah aset-aset air tersebut yang akan mengakibatkan kesemua aset-aset air Negeri Selangor bernilai RM14.9 bilion akan dipindahkan kepada PAAB bagi menyelesaikan liabiliti syarikat-syarikat konsesi.

    Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Perjanjian Utama yang telah dirunding dan dipersetujui pada September tahun lalu adalah berdasarkan prinsip dan semangat “commercial agreement” untuk mengasingkan tanah dan aset air syarikat konsesi. Ini ialah berdasarkan hujah-hujah yang berikut:

    1. Syarikat konsesi tidak memiliki apa-apa tanah di dalam buku akaunnya. Syarikat konsesi hanya menaik taraf aset air di atas tanah milik Kerajaan Negeri.
    2. Nilai aset air dan tanah milik Kerajaan Negeri adalah jauh lebih tinggi dari aset air yang telah di naik taraf oleh syarikat konsesi. Umpamanya, anggaran Kerajaan Negeri ialah hanya lebih kurang 1,000 kilometer paip air telah di baik pulih oleh syarikat konsesi berbanding jumlah 26,000 kilometer paip milik Kerajaan Negeri.
    3. Termasuk di dalam bond syarikat konsesi ialah amaun yang tidak dibelanjakan oleh syarikat konsesi untuk apa-apa aset air. Umpamanya, ada syarikat konsesi yang menggunakan bond air untuk pembayaran hutang tertunggak bekalan air. Untuk melaksanakan pengambilalihan bond tersebut oleh PAAB, suatu “commercial agreement” perlu dicapai untuk pengambilalihan bond dan penyewaan balik kepada Air Selangor sebagai suatu “contractual lease”.

    Syarikat-syarikat konsesi air tidak pernah diberi hak milik tapak tanah aset-aset air tersebut oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Oleh itu, tapak tanah aset syarikat konsesi air tidak termasuk di dalam senarai aset-aset syarikat konsesi yang akan dipindahkan kepada PAAB.

    Dari awal perbincangan lagi telah dipersetujui aset syarikat-syarikat konsesi yang akan dipindah milik kepada PAAB adalah meliputi aset-aset yang telah di naik taraf (upgraded asset) oleh Syarikat Konsesi dan tidak melibatkan soal pindah milikan tanah.  Perkara ini telah dipersetujui semasa dalam rundingan sebelum Perjanjian Utama dimuktamadkan.

    Pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kesemua pemindahan aset-aset syarikat konsesi kepada PAAB berserta pemindahan milik tapak tanah menjurus kepada keadaan bahawa Kerajaan Negeri Selangor perlu menyerahkan kedaulatan ke atas tanah-tanah milik Negeri Selangor selama 45 tahun kepada Kerajaan Persekutuan melalui PAAB.

    Keengganan Kerajaan Persekutuan menerima pemindahan milik hanya bahagian-bahagian aset air yang telah dipulihkan dan ditingkatkan oleh syarikat konsesi seperti mana yang telah disenaraikan di dalam Perjanjian Induk sebaliknya meletakkan syarat supaya keseluruhan aset-aset bersama pemilikan tanah dipindahkan kepada PAAB menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan inginkan hak milik keseluruhan loji rawatan air yang terlibat berserta tapak tanah walaupun hanya sebahagian sahaja dari aset tersebut menjadi hak milik syarikat konsesi.

    Pertikaian mengenai aset bekalan air di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah menyebabkan dua Condition Precedents (CPs) utama dalam Perjanjian Utama  seperti berikut masih belum dapat diselesaikan:-

    1. Pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan antara PAAB dan Air Selangor; dan
    2. Pemberian Lesen Individu Perkhidmatan dan lesen Individu Kemudahan kepada Air Selangor

    Tempoh bagi memenuhi CPs bagi Perjanjian Utama pada asalnya adalah pada 09 November 2015 telah dipersetujui oleh kesemua pihak untuk dilanjutkan sehingga 09 Mac 2015 dan PNHB melalui kenyataan media pada 10 Februari 2015 telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh memenuhi CPs Perjanjian Jual Beli Saham PNHB sehingga 09 Mac 2015. Sehingga 09 Mac 2015, CPs dalam Perjanjian Utama masih tidak dapat dipenuhi.

    Memandangkan CPs di dalam Perjanjian Utama tidak dapat diselesaikan sehingga 09 Mac 2015, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk tidak melanjutkan tempoh Perjanjian Utama selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 8/2015 yang diadakan pada 25 Februari 2015 dan telah disahkan oleh MMKN ke 9 pada 04 Mac 2015 yang telah bersetuju supaya tarikh 09 Mac 2015 merupakan tarikh akhir Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Utama.

    Perbincangan di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan masih berterusan, maka Perjanjian Pembelian Saham di antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (‘Air Selangor’) dan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi pengambilalihan 70% pegangan saham dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan 100% pegangan saham dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd telah dilanjutkan ke 9 April 2015.

    Walau bagaimanapun, YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air telah meminta rundingan diteruskan.  Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa apa jua rundingan yang akan dibuat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk menyempurnakan CPs Perjanjian Utama hendaklah merujuk kepada peruntukan di dalam Perjanjian Utama dan semangat (spirit) perjanjian tersebut dimuktamadkan termasuk persetujuan Kerajaan Persekutuan ke atas aset-aset yang disenaraikan untuk dipindahmilik kepada PAAB di dalam Appendix 7, Perjanjian Utama hanya tertakluk kepada aset-aset air yang telah dinaiktaraf dan dimiliki oleh syarikat konsesi sedangkan tapak tanah adalah di bawah milik Kerajaan Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.