Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

206) PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perincian pelan strategi demi memastikan Akta Perkhidmatan dan Industri Air (WSIA) 2006 dikuatkuasakan dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor.

    Strategi penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor masih mengguna pakai ketetapan yang dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 03 September 2014, yang telah menetapkan halatuju dan persetujuan ke atas perubahan-perubahan kepada Perjanjian Utama yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, berikutan siri perbincangan yang telah diadakan bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, PAAB dan Air Selangor untuk memuktamadkan perjanjian tersebut. Berdasarkan kepada ketetapan tersebut, Perjanjian Utama (Master Agreement) telah dimeterai pada 12 September 2014 oleh Ketua Setiausaha Negeri YB Dato’ Mohammed Khusrin Munawi bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi pihak Kerajaan Persekutuan, sementara PAAB pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Air Selangor oleh Pengarahnya, Encik Suhaimi Kamaralzaman.

    Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Perjanjian Utama yang telah dirunding dan dipersetujui pada September tahun lalu adalah berdasarkan prinsip dan semangat “commercial agreement” untuk mengasingkan tanah dan aset air syarikat konsesi. Ini ialah berdasarkan hujah-hujah yang berikut:

    1. Syarikat konsesi tidak memiliki apa-apa tanah di dalam buku akaunnya. Syarikat konsesi hanya menaik taraf aset air di atas tanah milik Kerajaan Negeri.
    2. Nilai aset air dan tanah milik Kerajaan Negeri adalah jauh lebih tinggi dari aset air yang telah di naik taraf oleh syarikat konsesi. Umpamanya, anggaran Kerajaan Negeri ialah hanya lebih kurang 1,000 kilometer paip air telah di baik pulih oleh syarikat konsesi berbanding jumlah 26,000 kilometer paip milik Kerajaan Negeri.
    3. Termasuk di dalam bond syarikat konsesi ialah amaun yang tidak dibelanjakan oleh syarikat konsesi untuk apa-apa aset air. Umpamanya, ada syarikat konsesi yang menggunakan bond air untuk pembayaran hutang tertunggak bekalan air. Untuk melaksanakan pengambilalihan bond tersebut oleh PAAB, suatu “commercial agreement” perlu dicapai untuk pengambilalihan bond dan penyewaan balik kepada Air Selangor sebagai suatu “contractual lease”.

    Syarikat-syarikat konsesi air tidak pernah diberi hak milik tapak tanah aset-aset air tersebut oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Oleh itu, tapak tanah aset syarikat konsesi air tidak termasuk di dalam senarai aset-aset syarikat konsesi yang akan dipindahkan kepada PAAB.

    Dari awal perbincangan lagi telah dipersetujui aset syarikat-syarikat konsesi yang akan dipindah milik kepada PAAB adalah meliputi aset-aset yang telah di naik taraf (upgraded asset) oleh Syarikat Konsesi dan tidak melibatkan soal pindah milikan tanah.  Perkara ini telah dipersetujui semasa dalam rundingan sebelum Perjanjian Utama dimuktamadkan.

    Pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kesemua pemindahan aset-aset syarikat konsesi kepada PAAB berserta pemindahan milik tapak tanah menjurus kepada keadaan bahawa Kerajaan Negeri Selangor perlu menyerahkan kedaulatan ke atas tanah-tanah milik Negeri Selangor selama 45 tahun kepada Kerajaan Persekutuan melalui PAAB.

    Keengganan Kerajaan Persekutuan menerima pemindahan milik hanya bahagian-bahagian aset air yang telah dipulihkan dan ditingkatkan oleh syarikat konsesi seperti mana yang telah disenaraikan di dalam Perjanjian Induk sebaliknya meletakkan syarat supaya keseluruhan aset-aset bersama pemilikan tanah dipindahkan kepada PAAB menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan inginkan hak milik keseluruhan loji rawatan air yang terlibat berserta tapak tanah walaupun hanya sebahagian sahaja dari aset tersebut menjadi hak milik syarikat konsesi.

    Pertikaian mengenai aset bekalan air di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah menyebabkan dua Condition Precedents (CPs) utama dalam Perjanjian Utama  seperti berikut masih belum dapat diselesaikan:-

    1. Pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan antara PAAB dan Air Selangor; dan
    2. Pemberian Lesen Individu Perkhidmatan dan lesen Individu Kemudahan kepada Air Selangor

    Tempoh bagi memenuhi CPs bagi Perjanjian Utama pada asalnya adalah pada 09 November 2015 telah dipersetujui oleh kesemua pihak untuk dilanjutkan sehingga 09 Mac 2015 dan PNHB melalui kenyataan media pada 10 Februari 2015 telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh memenuhi CPs Perjanjian Jual Beli Saham PNHB sehingga 09 Mac 2015. Sehingga 09 Mac 2015, CPs  dalam Perjanjian Utama masih tidak dapat dipenuhi.

     

    Memandangkan CPs di dalam Perjanjian Utama tidak dapat diselesaikan sehingga 09 Mac 2015, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk tidak melanjutkan tempoh Perjanjian Utama selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 8/2015 yang diadakan pada 25 Februari 2015 dan telah disahkan oleh MMKN ke 9 pada 04 Mac 2015 yang telah bersetuju supaya tarikh 09 Mac 2015 merupakan tarikh akhir Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Utama.

    Perbincangan di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan masih berterusan, maka Perjanjian Pembelian Saham di antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (‘Air Selangor’) dan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi pengambilalihan 70% pegangan saham dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan 100% pegangan saham dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd telah dilanjutkan ke 9 April 2015.

    Walau bagaimanapun, YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air telah meminta rundingan diteruskan. Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa apa jua rundingan yang akan dibuat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk menyempurnakan CPs Perjanjian Utama hendaklah merujuk kepada peruntukan di dalam Perjanjian Utama dan semangat (spirit) perjanjian tersebut dimuktamadkan termasuk persetujuan Kerajaan Persekutuan ke atas aset-aset yang disenaraikan untuk dipindahmilik kepada PAAB di dalam Appendix 7, Perjanjian Utama hanya tertakluk kepada aset-aset air yang telah dinaiktaraf dan dimiliki oleh syarikat konsesi sedangkan tapak tanah adalah di bawah milik Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.