Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

2) PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perjanjian yang dimeterai pada 3 Ogos 2018 melibatkan pembayaran balik hutang Air Selangor kepada SPLASH bernilai RM4 billion. Bagaimanakah pembayaran berstruktur ini dijalankan?

    Pertanyaan berkenaan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Selangor khususnya berkaitan dengan status pengambilalihan SPLASH, penentuan nilai pengambilalihan SPLASH, keupayaan bayaran balik kepada SPLASH, kesan pengambilalihan SPLASH terhadap kadar tarif dan program pemberian air percuma telah dibangkitkan dalam soalan-soalan No. 2 (Y.B Banting), N0. 56 (Y.B. Bukit Gasing), No. 143 (Y.B. Sg Burong), No. 173 (Y.B Sijangkang), No. 174 (Y.B. Sementa) dan No. 177 (Y.B. Rawang). Oleh sebab Ahli-Ahli Yang Berhormat yang saya sebutkan tadi menyentuh perkara-perkara yang sama, saya pohon izin Y.B. Tuan Speaker untuk menjawab bersekali soalan- soalan No. 2, No. 56, No. 143, No. 173, No. 174 dan No.177.

    Y.B. Bukit Gasing, Y.B. Rawang, Y.B Sementa, Y.B. Sungai Burong telah menanyakan berkenaan status pengambilalihan SPLASH dalam memuktamadkan rangka penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangior, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada 03 Ogos 2018, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) telah pun mengemukakan surat tawaran pengambilalihan kepada wakil Pemegang Saham SPLASH yang terdiri dari Gamuda Berhad (“Gamuda”) (40%), The Sweet Water Alliance (“TSWA”) (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“KPS”) (30%).

    Tawaran pengambilalihan tersebut telah diterima dan dipersetujui oleh Pemegang Saham SPLASH dan pada ketika ini, Air Selangor dan SPLASH Holdings sedang merundingkan terma-terma dan syarat-syarat bagi Perjanjian Jual Beli Saham yang dijangka akan dimuktamadkan pada 14 September 2018.

    Y.B. Bukit Gasing, Y.B. Banting, Y.B. Sungai Burong dan Y.B Sijangkang ingin tahu berkenaan nilai pengambilalihan yang ditawarkan kepada SPLASH, kaedah pembayaran kepada SPLASH dan keupayaan Air Selangor dalam membuat pembayaran mengikut jadual yang telah dipersetujui. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 01 Ogos 2018 telah menimbang dan meluluskan penyelesaian pelaksanaan pengambilalihan SPLASH berdasarkan kepada rundingan dan persetujuan yang telah dicapai bersama antara Kerajaan Negeri Selangor, Air Selangor dan Pemegang Saham SPLASH berdasarkan terma-terma berikut:-

     

    1. Nilai pengambilalihan SPLASH yang telah dipersetujui adalah berjumlah 55 bilion (“Pertimbangan”), iaitu bersamaan dengan diskaun sebanyak 28% berdasarkan NBV SPLASH pada 30 Jun 2018 iaitu sebanyak RM3.54 bilion;

     

    1. Bon SPLASH bernilai sebanyak RM1.13 bilion yang dipegang oleh ACQUA dan aset-aset air yang berkaitan akan dipindahkan kepada PAAB dan distrukturkan semula sebagai bayaran pajakan. Air Selangor akan membayar sewa pajakan ke atas penggunaan aset-aset air tersebut;

     

    1. Hutang tertunggak kepada subkontraktor SPLASH iaitu Sg Harmoni dan Gamuda Water yang berjumlah kira-kira RM1.37 bilion pada 30 Jun 2018 akan diselesaikan oleh Air Selangor (selepas diskaun sebanyak 10% ditolak daripada jumlah hutang tertunggak) secara ansuran sama rata sepanjang 9 tahun dengan faedah sebanyak 5.25% setahun dikenakan bagi jumlah yang tertunggak;

     

    1. Sg Harmoni dan Gamuda Water akan menamatkan perjanjian-perjanjian pengurusan dan penyelenggaraan (O&M, Operations & Maintenance) yang sedia ada dengan SPLASH. Air Selangor akan melantik Sg Harmoni (SSP1) dan Gamuda Water (SSP3 Badong dan Rasa) sebagai operator O&M. Tempoh lantikan O&M operator telah dirundingkan dan bayaran kadar Bulk Supply Rate (“BSR”) juga telah dikurangkan dari kadar asal kepada kadar yang lebih munasabah dan Oleh demikian, tempoh lantikan Sg Harmoni telah dipersetujui untuk dilanjutkan selama 7 tahun lagi berbanding tempoh asal yang bakal berakhir tahun 2030. Manakala, tempoh pelantikan GWSB dipersetujui selama 9 tahun, iaitu bersamaan dengan tempoh bayaran baki pertimbangan seperti yang telah dinyatakan di bawah para ( c) di atas; dan
    1. Pindaan kepada Perjanjian-Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (‘Perjanjian’) oleh pihak-pihak kepada Perjanjian dengan mengambil kira perkara berikut: –

     

    • Pembiayaan tambahan Kerajaan Persekutuan melalui PAAB bagi pengambilalihan SPLASH; dan

     

    • Persetujuan terkini pihak-pihak kepada Perjanjian terhadap obligasi di bawah Perjanjian Utama dan seperti penamatan Perjanjian Konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (‘SYABAS’).

    Y.B. Banting, Y.B. Rawang, Y.B. Sungai Burong dan Y.B Sijangkang ingin tahu bagaimana nilai pengambilalihan SPLASH ditentukan dan adakah Air Selangor berupaya untuk membayar ansuran mengikut jadual. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam menentukan nilai yang munasabah untuk pengambilalihan SPLASH, Kerajaan Negeri Selangor pada 13 Julai 2015 telah melantik RHB Investment Bank Berhad (‘RHB’) untuk membuat penilaian terhadap SPLASH. RHB telah menilaikan SPLASH di antara RM2.488 bilion berdasarkan kaedah mengambil Nilai Buku SPLASH pada 31 Mac 2015 (“1x BV”) dan RM3.204 bilion berdasarkan kaedah mengambil menilai pendapatan masa depan yang didiskaun (“Discounted Cash Flow, DCF”).

    Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui surat bertarikh 17 Oktober 2016 telah memaklumkan Kerajaan Negeri bahawa Jemaah Menteri pada 5 Oktober 2016 berpandangan bahawa pihak penilai bebas antarabangsa perlu dilantik bagi menilai dan mencadangkan nilai pengambilalihan SPLASH yang adil. Melalui surat bertarikh 05 Julai 2018, pihak KeTTHA telah memaklumkan hasil dapatan yang dibuat oleh pihak penilai bebas dan mengesahkan bahawa nilai pengambilalihan SPLASH berjumlah RM2.7 bilion adalah merupakan nilai yang adil.

    Di dalam perbincangan pada 19 Julai 2018, nilai pengambilalihan yang dicadangkan oleh SPLASH Holdings adalah sebanyak RM3.05 bilion berdasarkan kepada Nilai Buku Bersih (Net Book Value) SPLASH yang telah meningkat kepada RM3.54 bilion setakat 30 Jun 2018. Setelah rundingan lebih lanjut di adakan,  pihak Gamuda dan TSWA pemegang-pemegang saham utama SPLASH Holdings, pada 27 Julai 2018 telah bersetuju secara prinsipnya dengan pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion (“Pertimbangan”), iaitu bersamaan dengan diskaun sebanyak 28% berdasarkan NBV SPLASH pada 30 Jun 2018. Mengenai kaedah pembayaran kepada SPLASH, ia akan dilaksanakan seperti berikut:-

    • Bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 billion (setelah memenuhi Syarat- Syarat Terdahulu (Conditions Precedent)), menggunakan pembiayaan Kerajaan Persekutuan melalui PAAB; dan

     

    • Pembiayaan baki sebanyak RM0.65 billion dibuat secara ansuran sama rata (“equal installment”) sepanjang sembilan (9) tahun dengan bayaran kira-kira 22 juta setahun oleh Air Selangor.

    Y.B. Banting dan Y.B. Sijangkang mengambil berat berkenaan kesan pengambilalihan SPLASH terhadap tarif dan program pemberian air percuma 20- meter padu. Matlamat pengambilalihan semula industri perkhidmatan bekalan air adalah untuk mengambil alih operasi rawatan dan pengagihan bekalan air daripada syarikat-syarikat pemegang konsesi air sedia ada dan menguruskan secara holistik.

    Kerajaan Negeri Selangor akur bahawa dalam melaksanakan penstrukturan semula ini, Air Selangor perlu menampung kos pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air pada nilai mencecah sebanyak RM3.0 bilion. Selain dari menanggung kos pengambilalihan semula, Air Selangor juga perlu mempunyai unjuran kewangan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan CAPEX dan OPEX.

    Mengikut unjuran kewangan di dalam model kewangan yang disediakan, Air Selangor dijangka akan mencatatkan unjuran aliran tunai negatif sekiranya tiada pelarasan tarif dibuat dalam waktu terdekat ini. Keadaan ini akan menyebabkan Air Selangor memerlukan bantuan subsidi sekurang-kurangnya RM766 juta atau subsidi purata sebanyak RM255 juta setahun daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk membiayai kos operasi dan sewa pajakan bagi menjamin perkhidmatan bekalan air kepada kesemua pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terganggu dan dapat diteruskan. Dengan mengambil kira biayaan tahunan yang dianggarkan tidak kurang daripada RM150 juta setahun bagi kos program pemberian air percuma sebanyak 20 m3 kepada rakyat Negeri Selangor, jumlah keseluruhan subsidi tahunan yang diperlukan daripada Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM405 juta setahun.

    Kadar tarif yang digunakan pada ketika ini adalah merupakan kadar tarif yang telah diluluskan pada tahun 2006. Sejak dari itu, selama 12 tahun tidak ada sebarang kenaikan tarif kepada pengguna. Jika merujuk kepada Perjanjian Konsesi SYABAS, kenaikan tarif untuk kali keempat adalah pada 01 Januari 2018 dengan kadar purata sebanyak RM3.15 bagi setiap meter padu berbanding kadar yang sedang dinikmati ketika ini sebanyak RM1.39.

    Dasar pemberian bekalan air secara percuma bagi 20-meter padu pertama atau potongan RM11.40 kepada pengguna domestik yang bermeter individu setiap bulan telah dilaksanakan di Selangor bermula 1 Jun 2008. Program ini dirangka bagi mengurangkan beban rakyat khususnya daripada golongan berpendapatan rendah. Dasar pemberian air percuma ini diberikan kepada semua pengguna air domestik yang menggunakan meter individu di Selangor. Walaupun program ini mensasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, namun Kerajaan Negeri telah meluaskan kemudahan ini semua penduduk Negeri Selangor tanpa mengira lapisan masyarakat dan pendapatan selagi mereka merupakan pengguna domestik yang menggunakan meter individu. Semenjak mula dilaksanakan pada Jun 2008 sehingga 30 Jun 2018, program ini telah menelan belanja sebanyak RM1,587,972,946.95. Jumlah yang dibelanjakan untuk membiayai program air percuma ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri menggunakan Kumpulan Wang Disatukan.

    Justeru itu, di dalam usaha untuk mendapatkan perkhidmatan bekalan air yang diurus secara holistik ke arah perkhidmatan yang menjamin ketelusan, kebertanggungjawaban, efisien dan kos efektif di samping dapat meneruskan Program Air Percuma, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa kadar tarif dan program pemberian air percuma perlu diteliti. Namun sebarang langkah untuk menetapkan kadar tarif akan mengambil kira bebanan yang ditanggung oleh rakyat, terutamanya golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Lampiran

Tiada Lampiran.