Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

221) PENTADBIRAN DAERAH HULU LANGAT

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kebanyakan pentadbiran Kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan lain-lain tertumpu di sekitaran Bandar Baru Bangi, sedangkan Daerah Hulu Langat terlalu luas termasuk Ampang dan Pandan, apakah rancangan kerajaan bagi mengatasi masalah ini?

    Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat (PDTHL) pada asalnya terletak di Bandar  Kajang sejak tahun 1884 sebelum berpindah ke Bandar Baru Bangi pada 1 Januari 1992 sehinggalah ke hari ini. Sepertimana daerah-daerah lain di Negeri Selangor, hanya terdapat satu pejabat pentadbiran daerah sahaja diletakkan di setiap daerah. Walau bagaimanapun, PDTHL mempunyai wakil pentadbiran di setiap mukim yang sentiasa berurusan dengan penduduk setempat di sekitar mukim tersebut.

     

    Selaras dengan keperluan semasa, Mukim Ampang telah dibahagikan kepada dua wakil pentadbiran iaitu Ampang 1 dan Ampang 2. Kompleks Penghulu Ampang 1 terletak di Jalan Ampang/DUN Lembah Jaya manakala Kompleks Penghulu Ampang 2 terletak di Jalan Cempaka/DUN Cempaka. Kedua-dua kompleks ini berkhidmat untuk penduduk setempat di Ampang dan Pandan. Selain itu, PDTHL juga telah membahagikan bidang tugas Penolong Pegawai Tanah (untuk urusan tanah) dan Juruteknik (untuk urusan pembangunan) mengikut mukim supaya urusan pentadbiran daerah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Lampiran

Tiada Lampiran.