Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

135) PENTADBIRAN YANG EFISYEN

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kayu ukur yang diletakkan oleh Kerajaan bagi menilai pentadbiran yang efisyen?

    Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) yang bertujuan untuk menilai prestasi dan seterusnya mengiktiraf kecemerlangan pengurusan organisasi sektor awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. APPC juga merupakan satu platform untuk mewujudkan persaingan sihat antara jabatan/ agensi dalam meningkatkan prestasi sistem pentadbiran serta kualiti penyampaian perkhidmatan secara berkesan.

    Sejajar dengan perkembangan serta peningkatan tahap pendidikan dan pengetahuan rakyat, adalah menjadi harapan agar kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Justeru, penyediaan dan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang adalah fokus utama sesuatu organisasi dan APPC merupakan suatu program penilaian berstruktur untuk mengukur tahap kecemerlangan perkhidmatan organisasi.  Dalam memastikan APPC adalah sentiasa relevan, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan, penambahbaikan secara berterusan dilaksanakan mengikut keperluan dan kehendak semasa.

    Selain itu, penilaian yang dijalankan oleh badan luar seperti SIRIM QAS International Berhad (MS ISO 9001:2015), Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Penilaian Penarafan Bintang) serta Jabatan Audit Negara (Indeks Akauntabiliti) juga dijadikan kayu pengukur kepada pentadbiran yang efisyen dengan memastikan semua prosedur kerja dipatuhi.

Lampiran

Tiada Lampiran.