Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

51) PENTERNAKAN

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan kawasan yang dikenal pasti dan dizonkan sebagai zon penternakan mengikut pecahan daerah dan apakah perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi penternakan dalam kawasan bandar khasnya untuk daerah Gombak?

    Kerajaan Negeri Selangor tidak menetapkan sebarang kawasan sebagai zon penternakan. Walau bagaimana pun, kerajaan Negeri telah mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Taman Agroteknologi di mana aktiviti yang dijalankan di kawasan ini mestilah berkaitan dengan salah satu aktiviti pertanian, penternakan dan/atau perikanan.

    Senarai TKPM / Taman Agroteknologi yang mempunyai komponen ternakan mengikut daerah adalah seperti berikut :

    BIL NAMA DAERAH KOMPONEN TERNAKAN
    1 TKPM Sepintas Sabak Bernam Ternakan Ayam Pedaging
    2 Taman Agroteknologi Sg.Panjang Sabak Bernam Lembu Pedaging
    3 Taman Agroteknologi Bestari Jaya Kuala Selangor Ayam Pedaging
    4 Taman Agroteknologi Bukit Changgang Kuala Langat Kambing Pedaging
    5 Taman Agroteknologi Hulu Teris Sepang Ayam Pedaging, Lembu Pedaging, Kambing Pedaging
    6 TKPM Semenyih Hulu Langat Lembu Tenusu
    7 TKPM Sg. Nilam Hulu Selangor Lembu Pedaging, Lembu

    Tenusu, Kambing Pedaging,

    Rusa

    8 TKPM Sungai Jang Hulu Selangor Ayam Pedaging, Lembu Pedaging
    9 TKPM Buluh Telur Hulu Selangor Lembu Pedaging
    10 TKPM Sg.Tamu Hulu Selangor KambingPedaging, Lembu Tenusu

    Sebagai tambahan kepada TKPM / Taman Agroteknologi di atas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah membuka 9 plot baru berkeluasan 10 ekar setiap plot untuk penternakan lembu tenusu. Plot-plot ini dibangunkan lengkap dengan jalan ladang, bekalan elektrik dan air bagi penempatan semula penternak-penternak yang telah mendapat notis tutup ladang dari pihak berkuasa tempatan di daerah Petaling Jaya dan Klang. Penempatan semula ini dilaksanakan di bawah program  Translokasi Penternak Lembu Tenusu Negeri Selangor.

    Justifikasi-justifikasi utama kenapa Kerajaan Negeri tidak menetapkan zon khusus untuk penternakan adalah :

    • Peratus guna tanah untuk sektor ternakan di daerah-daerah adalah kecil berbanding sektor lain seperti perindustrian dan hartanah. Justeru itu, pertumbuhan projek penternakan lebih bercorak “in situ” di mana lebih bergantung kepada kemampuan pengusaha itu sendiri membangunkan projek penternakan secara lestari dengan pembangunan setempat.
    • Pejabat Tanah dan Daerah tidak mampu untuk mengkhaskan satu kawasan yang luas sebagai zon penternakan setelah mengambil kira keperluan guna tanah semasa.
    • Sebahagian penduduk luar bandar dan pinggir bandar melakukan aktiviti penternakan secara sambilan untuk menambah pendapatan dan pembentukan zon penternakan khusus akan menghalang aktiviti ekonomi sebegini.

    Bagi mengatasi masalah penternakan di dalam kawasan bandar khasnya di daerah Gombak, Kerajaan Negeri banyak menggunakan pendekatan penguatkuasaan misalnya pematuhan pelan pembangunan tanah, syarat nyata geran tanah dan undang-undang PBT yang lain.  Sebagai langkah pro-aktif, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sering mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penternak-penternak Ruminan Negeri Selangor berkaitan masalah penternak.  Kerajaan Negeri merancang akan membuka lebih banyak lagi kawasan translokasi baru dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menyelesaikan krisis projek ternakan dengan kawasan penempatan di bandar-bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.