Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

134) Penukaran Terma Dan Syarat Untuk Bantuan Kiss Atau Peduli Sihat

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengikut piawaian Kerajaan Negeri Selangor bagi definasi pendapat kasar B40 bawah Selangor adalah RM 6,180 dan kebawah. Berdasarkan piawaian ini, adakah Kerajaan Selangor boleh mempertimbangkan penukaran terma dan syarat pendapatan untuk KISS / Peduli Sihat di sesetengah kawasan bandar?

    Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini Kerajaan Negeri masih menggunakan syarat kriteria program Kasih Ibu Smart Selangor yang sedia ada yang telah ditetapkan yang mana syarat berkenaan telah mengambil kira secara keseluruhan pendapatan isi rumah rakyat di Selangor seperti berikut :-

    1. Warganegara Malaysia;
    2. Lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun;
    3. Pemilih berdaftar di Selangor;
    4. Wanita berkeluarga (berkahwin atau ibu tunggal) yang mempunyai anak / tanggungan di bawah 18 tahun;
    5. Berpendapatan isi rumah RM2,000.00 dan ke bawah sebulan; dan
    6. Berdaftar di dalam Sistem eKasih (kategori miskin dan miskin tegar) atau sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Walau bagaimanapun, cadangan Ahli Yang Berhormat berkenaan boleh dipertimbangkan pada masa akan datang tertakluk kepada keperluan dan keputusan Kerajaan Negeri berdasarkan kepada situasi semasa. Bagi Program Skim Insurans Peduli Sihat pula, proses penjajaran telah dilaksanakan pada bulan Mei 2019 dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kumpulan sasaran dan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri pada ketika itu. Tambahan pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu keseluruhan nasional adalah pada kadar RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah yang mana masih lagi relevan dengan syarat utama bagi permohonan Skim Insurans Peduli Sihat iaitu berpendapatan RM2,000 dan ke bawah.

    Namun yang demikian, Kerajaan Negeri akan sentiasa menilai keberkesanan program dan kumpulan sasaran bagi membolehkan setiap rakyat negeri Selangor yang layak mendapat manfaat yang sewajarnya.

    (Sumber jawapan Skim Insurans Peduli Sihat : Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN)

Lampiran

Tiada Lampiran.