Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

65) PENYELARASAN WAKTU PEMOTONGAN RUMPUT JKR DAN KDEB

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri sedar waktu pemotongan rumput JKR dan KDEB yang berbeza di dalam satu kawasan yang sama telah menyebabkan orang awam meragui kecekapan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melaksanakan kerja? Jika ya, nyatakan cadangan KDEB supaya penyelarasan waktu dengan JKR boleh dilakukan.

    KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) sememangnya mempunyai jadual pemotongan rumput yang sistematik. Bagi kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), jadual kerja-kerja pemotongan rumput akan dikemaskini secara berkala oleh KDEBWM dan dimajukan ke MDHS untuk semakan dan pemantauan.

    Kekeliruan berhubung skop dan jadual pemotongan rumput mungkin timbul kerana terdapat beberapa kawasan yang tidak termasuk di dalam inventori MDHS dan sebaliknya kawasan tersebut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR). KDEBWM mempunyai kekerapan, jadual dan waktu pemotongan rumput yang mungkin berbeza dengan JKR dan situasi ini yang menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan orang awam.

    KDEBWM berpendapat bahawa isu perbezaan waktu pemotongan rumput ini boleh di atasi melalui mesyuarat koordinasi di antara MDHS dan JKR.  KDEBWM merupakan kontraktor lantikan MDHS dan hanya melaksanakan kerja-kerja pemotongan rumput mengikut jadual yang dipersetujui oleh MDHS. JKR juga mempunyai kontraktor lantikan mereka sendiri untuk melaksanakan kerja-kerja pemotongan rumput yang terdapat di dalam inventori mengikut jadual mereka sendiri. Justeru, isu ini boleh di atasi sekiranya satu mesyuarat koordinasi dapat diaturkan di antara MDHS, JKR, KDEBWM dan juga kontraktor lantikan JKR supaya jadual dan waktu pemotongan rumput dapat diselaraskan dan dihebahkan kepada orang ramai melalui pelbagai saluran komunikasi rasmi seperti laman web MDHS, JKR, KDEBWM dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.