Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

153) PENYELENGARAAN PANGSAPURI DI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengapa masih ada rungutan rakyat mengenai komitmen Kerajaan Negeri dalam menguruskan kemusahan awam di kawasan pangsapuri di Selangor?

    Harta bersama bagi pangsapuri di bawah Akta Pengurusan Strata (Akta 757) pada asasnya adalah di bawah tanggungjawab pengurusan dan penyenggaraan oleh pihak Badan Pengurusan Bersama/Perbadanan Pengurusan (JMB/MC). Sehubungan itu, ia perlu diurus serta disenggara melalui kutipan caj daripada setiap pemilik. Sekiranya kutipan caj rendah atau ramai pemilik yang gagal membayar caj secara konsisten, maka akan ada masalah dalam mengurus dan menyenggara harta bersama pangsapuri.

    Atas inisiatif peduli rakyat, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim CERIA yang berdasarkan konsep perkongsian kos. Ia bersifat serampang dua mata iaitu untuk bantu membaik pulih harta bersama serta memberi kesedaran kepada penduduk akan kepentingan membayar caj, memupuk rasa tanggungjawab serta rasa kepunyaan dan kebersamaan dalam memelihara harta bersama melalui kaedah perkongsian kos tersebut.

    Oleh kerana Kerajaan Negeri memahami kesukaran yang dihadapi oleh sebahagian pangsapuri untuk menerima tawaran bantuan Skim CERIA kerana syarat perkongsian kos tersebut, maka Kerajaan Negeri telah mewujudkan program bantuan SMART LIFE (Smart Lift Improvement For Quality Life) iaitu program khusus dalam memberi bantuan baik pulih serta penyenggaraan lif kepada pangsapuri. Kos baik pulih serta bayaran penyenggaaran lif secara bulanan selama setahun akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

    Oleh yang demikian, sekiranya masih terdapat rungutan daripada rakyat mengenai komitmen Kerajaan Negeri, maka ia berkemungkinan besar disebabkan tidak mendapat maklumat akan program serta skim bantuan yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri atau faktor dorongan sentimen politik yang bertentangan dengan Kerajaan Negeri serta majoriti penduduk pangsapuri.

Lampiran

Tiada Lampiran.