Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

144) PENYELENGARAAN PERUMAHAN PPR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perumahan PPR kerap menghadapi masalah kerosakan dan penyelenggaraan .Pihak syarikat yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Tempatan juga gagal memastikan segala kemudahan terurus dengan alasan tiada bajet dari PBT . Pihak Kerajaan Negeri juga pernah menyebut tentang kemungkinan pihak PKNS mengambil alih penyelenggaraan rumah PPR . Apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memastikan segala kemudahan lif, pembersihan, tangga, surau dan lain-lain terurus dengan keadaan yang baik ?

    Perancangan jangka panjang yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan semua bangunan PPR diselenggara dengan baik ialah dengan meningkatkan lagi program komuniti di setiap PPR Negeri Selangor. Antara program yang akan dilaksanakan sepanjang masa adalah program khidmat komuniti dan gotong royong perdana di mana ianya melibatkan penyewa-penyewa untuk melakukan sendiri kerjakerja pembersihan dan penyenggaraan kawasan PPR. Program komuniti ini adalah langkah terbaik untuk mendidik penghuni-penghuni PPR menghargai kemudahankemudahan awam yang sebelum ini sering dirosakkan atau tidak diselenggara dengan sempurna. Skim Khidmat Komuniti yang dilaksanakan sebelum ini bagi mereka yang tidak berkeupayaan untuk membayar sewa rumah akan diberi penambaikan dan diperluaskan kepada penyewa-penyewa lain yang berminat untuk menyertai skim tersebut. Penyewa-penyewa akan diberi kerja-kerja bersesuaian dan dibayar secara “inkind” melalui potongan tunggakan sewaan sehingga selesai atau mengikut kemampuan kerja yang dilakukan mereka.

    Selain itu, memandangkan kos mengurus dan penyenggaraan adalah tinggi berbanding jumlah kutipan sewa yang rendah maka pemantauan di setiap PPR bukan sahaja akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi ia juga akan dilakukan oleh jawatankuasa penduduk yang dilantik untuk memantau kerja-kerja yang dilaksanakan oleh agen pengurusan bangunan. Di samping itu, kajian akan dibuat untuk melihat keperluan penubuhan tabung pemulihan PPR Negeri Selangor di mana dana tabung tersebut akan diperolehi melalui dua cara iaitu melalui peruntukan kerajaan Negeri dan bayaran sewaan penduduk setiap bulan. Tabungan atau ‘sinking fund’ ini dapat menjamin kesinambungan kerja-kerja penyelenggaraan terutama kos pembaikan lif yang semakin tinggi akibat kenaikan harga barang dan kos buruh di pasaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.