Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

36) PENYELENGGARAAN JALAN-JALAN BUKAN DI BAWAH MARRIS

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan jalan-jalan bukan di bawah MARRIS sentiasa dalam keadaan yang elok terutamanya jalan-jalan yang digunakan oleh banyak kenderaan berat dan ringan walaupun pemajunya sudah gulung tikar dan jalannya belum diserahkan kepada agensi pelaksana?

    Kerajaan Negeri mengambil maklum akan keperluan untuk membaikpulih jalan-jalan yang masih belum didaftarkan di bawah program MARRIS. Ini kerana jalan tersebut masih belum diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan oleh pihak pemaju yang telah gulung tikar.

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBT yang berkaitan untuk menyelaras supaya jalan-jalan tersebut dapat diambilalih dan didaftarkan di bawah MARRIS untuk membolehkan ianya diselenggara secara berkala.

    Pada tahun 2015, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah mengenalpasti keperluan membaikpulih dan menyelenggara jalan-jalan utama sepanjang 7.8km di Bandar Bukit Beruntung dan Bandar Bukit Sentosa, Mukim Serendah daerah Hulu Selangor. Kawasan tersebut merupakan jalan di dalam kawasan pembangunan syarikat Talam Corporation dan syarikat Europlus Berhad di mana kedua-dua syarikat tersebut telah gulung tikar namun jalan-jalan tersebut masih belum diserahkan kepada pihak MDHS.

    Sehubungan itu, MDHS telah mengambilalih jalan tersebut dan mewartakan sebagai jalan yang akan diselenggara oleh MDHS. Hasil pengambilalihan tersebut, Kerajaan Negeri pada 11 Jun 2015 telah meluluskan siling peruntukan berjumlah RM5juta bagi tujuan baikpulih dan penyelenggaraan. Jalan-jalan tersebut juga telah didaftarkan di dalam Sistem MARRIS Online bertujuan untuk memastikan rekod panjang jalan di dalam negeri Selangor meningkat dan seterusnya meningkatkan siling peruntukan MARRIS pada tahun berikutnya. Dengan kaedah ini, pembaikan jalan tersebut dapat dibuat dengan lebih teratur dan sistematik pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.