Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

14) PENYELESAIAN MASALAH VANDALISME TERHADAP INFRASTRUKTUR KERAJAAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah vandalisme terhadap infrastruktur milik kerajaan seperti lampu dan perabot jalanraya?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan pelbagai usaha dalam menyelesaikan masalah vandalisme terhadap infrastruktur milik kerajaan terutama seperti lampu jalan dan perabot jalanraya. Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah:

     

    • mengadakan kempen kesedaran kepada orang awam melalui media cetak dan media elektronik secara besar-besaran berkenaan hukuman atau denda yang boleh dikenakan kepada pesalah vandalisme iaitu denda RM1,000.00 bagi setiap kesalahan berdasarkan Undang-Undang Kecil Vandalisme 2005;
    • memasang CCTV di kawasan hotspot yang sering terjadi vandalisme dan melaporkan pesalah kepada pihak berkuasa untuk di ambil tindakan yang tegas serta membuat hebahan kepada orang awam sebagai teladan;
    • menggunakan sejenis lapisan cat anti-stick yang boleh membantu mengelakkan kejadian vandalisme pada perabot jalanraya dan papan tanda amnya;
    • menggunakan cecair/sapuan cat jenis sticker removal untuk menanggalkan sticker haram pada papantanda jalan/trafik dan pondok bas;
    • penutup longkang pada laluan pejalan kaki tidak lagi menggunakan penutup jenis besi atau fiber (FRP) dan digantikan dengan penutup jenis compress concerete slab; dan
    • tiang lampu jalan (service door) ditinggikan kepada 1.8 meter untuk mengelakkan kecurian kabel.

    Namun, terdapat juga PBT yang menghadapi masalah vandalisme yang tinggi disebabkan keadaan geografi dan ekonomi kawasan sekeliling contohnya di Daerah Hulu Selangor yang menggalakkan aktiviti vandalisme kerap berlaku. Antara punca vandalisme ini kerap berlaku adalah dengan adanya kawasan pembangunan yang telah dibina tetapi terbiar kerana tidak dihuni serta kawasan kurang dilalui orang awam menyebabkan aktiviti ini sukar dibelenggu. Walau bagaimanapun, PBT tetap berusaha untuk mengkaji alternatif yang sesuai dan terbaik supaya kemudahan awam yang disediakan tidak menggunakan bahan yang tidak bernilai bagi aktiviti vandalisme.

Lampiran

Tiada Lampiran.