Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

221) PENYEWAAN FLAT KOS RENDAH

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah peraturan untuk pemilik rumah kos rendah individu untuk menjual atau menyewanya (bukan rumah PPR tetapi rumah kos rendah yang dibina oleh pemaju)

    Setiap pemilik rumah kos rendah di Negeri Selangor yang berhasrat untuk menjual semula unit rumah kos rendah (RKR) mestilah mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Negeri dan permohonan hendaklah dibuat melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Permohonan kebenaran memindahmilik ini sama ada melalui urusniaga jualan (sub-sale) atau pindah milik adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.  Antara syarat-syarat kebenaran pindahmilik rumah kos rendah seperti yang diluluskan oleh MMKN Ke 38/2013  bertarikh 12 Disember 2013 ialah:-

    (i)    Tempoh pemilikan hartanah mestilah mencukupi 5 tahun daripada tarikh perjanjian jualbeli atau apa-apa dokumen pengesahan pemilikan hartanah sebelum boleh dijual semula;

    (ii)     Bakal penerima pindahmilik adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-

    • Warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas;
    • Jumlah pendapatan bakal pembeli dan pasangan tidak melebihi RM5,000.00 sebulan. Dalam kes-kes tertentu di mana harga jualan melebihi RM150,000.00 pendapatan pembeli adalah tidak melebihi RM6,000.00;
    • Bakal pembeli dan pasangan tidak memiliki sebarang rumah di Negeri Selangor;
    • Bakal pembeli atau pasangan hendaklah menetap atau bekerja di negeri Selangor atau dalam kawasan Lembah Klang;

    Penetapan kawalan pindahmilik rumah kos rendah ini adalah bertujuan memastikan pengagihan dan pemilikan hartanah harga terkawal terutamanya jenis harga kos rendah di Selangor hanya dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana sahaja. Selain itu, mekanisme ini dapat mengurangkan tindakan pihak-pihak tertentu yang menjadikan pembelian rumah kos rendah untuk dijadikan aset pelaburan seperti rumah sewa atau asrama pekerja kilang.

    Setakat ini tiada penetapan syarat oleh Pihak Berkuasa Negeri kepada pemilik rumah kos rendah yang menyewakan rumah kediaman mereka kepada pihak lain. Tindakan pembeli menyewakan rumah berkenaan adalah di luar kawalan Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.