Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

153) PERANAN JAWATANKUASA TETAP

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perbezaan peranan dan skop Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan dan Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS)?

    Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan berperanan untuk memperkasakan usahawan-Usahawan mikro di Negeri Selangor. Definisi usahawan mikro adalah individu atau pengusahaan yang merekodkan hasil jualan tahunan kurang daripada RM300,000 DAN mempunyai pekerja tetap sebanyak 2 hingga 5 orang. Oleh itu, skop Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan diterjemahkan melalui dasar dan program-program untuk membantu usahawan-usahawan mikro meningkatkan pendapatan dan taraf ekonomi mereka.

     

    Antara program yang dijalankan adalah penyaluran bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

     

    Selain itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan juga akan menawarkan kepada usahawan yang berkelayakan untuk mewakili delegasi Negeri Selangor menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan Selangor International Expo (SIE). Bagi usahawan di peringkat permulaan pula, Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan dari aspek persiapan produk-produk khususnya untuk menembusi pasaraya tempatan. Modul kursus terdiri daripada asas perniagaan dan kewangan, penjenamaan produk, pensijilan produk serta pemasaran atas talian dan ke rangkaian pasaraya.

     

    Bagi membantu usahawan dari segi kewangan, HIJRAH Selangor diwujudkan iaitu satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.

     

    Manakala Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berperanan untuk menyediakan medium atau platform yang boleh membantu syarikat-syarikat IKS untuk mengembangkan perniagaan dan pasaran ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan usahawan-usahawan tempatan dalam pameran yang diadakan di dalam dan luar negara seperti program Selangor International Business Summit, Penang International Halal Expo 2019, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2019 dan lain-lain.

     

    Definisi IKS atau dikenali sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana boleh ditakrifkan dalam dua (2) kategori. Pertama di dalam kategori pembuatan, industri kecil ditakrifkan sebagai industri yang mempunyai jualan tahunan daripada RM300,000 hingga kurang daripada RM15 juta ATAU daripada 5 hingga kurang daripada 75 pekerja. Industri sederhana di dalam kategori pembuatan pula meliputi industri yang mempunyai jualan tahunan daripada RM15 juta hingga tidak melebihi RM50 juta ATAU daripada 75 hingga tidak melebihi 200 pekerja. Kategori kedua adalah perkhidmatan dan sektor lain. Industri kecil di dalam kategori ini terdiri daripada industri yang mempunyai jualan tahunan daripada RM300,000 hingga kurang daripada RM3 juta ATAU daripada 5 hingga kurang daripada 30 pekerja, manakala industri sederhana terdiri daripada industri yang mempunyai jualan tahunan daripada RM3 juta hingga tidak melebihi RM20 juta ATAU daripada 30 hingga tidak melebihi 75 pekerja.

     

    Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga berperanan sebagai pemudahcara untuk membantu syarikat-syarikat tersebut dalam menyelesaikan isu atau permasalahan yang dihadapi seperti isu infra, kelulusan pembangunan dan lain-lain melalui jawatankuasa dan majlis yang telah ditubuhkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.