Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

108) PERANAN KRT, RA, JKKK DAN MPKK

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat peranan yang berulang di kalangan KRT, RA, JKKK dan MPKK. Adakah kerajaan negeri berhasrat untuk menyatukan peranan dan sistem agensi-agensi ini demi memudahkan urusan-urusan berkenaan dan menjelaskan peranan agensiagensi ini kepada rakyat?

    Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Penduduk (RA) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini adalah berlainan antara satu sama lain dan beroperasi di dalam kawasan jajahan yang berbeza.
    Rukun Tetangga (RT) telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975 yang mana tujuan asalnya adalah untuk menjamin keselamatan penduduk setempat di dalam sesuatu kawasan kejiranan. Satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975 (P.U. (A) 279/75) telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut.
    Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan. Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut dan sekarang ini telah dicabangkan dan diberi pengenalan Skim Rondaan Sukarela (SRS). Untuk makluman semua, KRT ini dikawalselia oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Penubuhan KRT adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan kepada JPNIN manakala Penubuhan Persatuan Penduduk (RA) adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia dan terhad kepada kawasan perumahan tertentu sahaja.
    Manakala peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung pula adalah sebagai salah satu pemudahcara dan penghubung antara kerajaan dengan masyarakat
    setempat. MPKK ini diwujudkan bagi Kawasan Kampung Tradisi khususnya di Negeri Selangor yang mana sebelum ini MPKK ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Dengan penubuhan MPKK ini ianya secara tidak langsung menjadi perantara dan pelaksana dasar-dasar Kerajaan di peringkat akar umbi dan membantu komuniti kampung untuk menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak yang berkaitan.
    MPKK juga berfungsi untuk merancang dan melaksanakan pelan pembangunan kampung dengan penglibatan komuniti setempat menggunakan pendekatan bottom-up approach ke arah mewujudkan kampung yang maju dan sejahtera. MPKK ini dikawalselia oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dipantau oleh Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
    Tuan Speaker,
    Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk untuk menyatukan peranan dan sistem agensi-agensi ini kerana fungsi, kumpulan sasar dan fokus agensi ini adalah berlainan. KRT dibawah tanggungjawab JPNIN dan beroperasi di Kawasan perumahan dan kebanyakkanya di dalam kawasan bandar manakala MPKK yang diselia oleh KPLB dan dipantau oleh PDT ini beroperasi di dalam kawasan Kampung Tradisi.

Lampiran

Tiada Lampiran.