Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

278) PERANCANGAN BANDAR

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kerajaan negeri merancang membangunkan sesebuah kawasan baharu?

    Kerajaan Negeri Selangor merancang membangunkan kawasan baru berdasarkan kepada Rancangan Pemajuan yang disediakan iaitu Rancangan Struktur Negeri (RSN) di peringkat Negeri dan Rancangan Tempatan (RT) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Setiap perancangan dan aktiviti pembangunan di peringkat Negeri akan mengambilkira dasar-dasar dan cadangan strategik RSN meliputi perkara- perkara seperti :

     

    1. Taburan dan unjuran
    2. Pemajuan dan penggunaan tanah
    • Langkah memperelok alam sekitar
    1. Perhubungan dan lalu lintas; dan
    2. Peningkatan kesejahteraan hidup, sosio ekonomi dan pertumbuhan ekonomi.

     

    Seterusnya di peringkat PBT Rancangan Tempatan (RT) disediakan mengenalpasti kawasan baru yang berpotensi untuk dibangunkan dengan menetapkan zoning yang sesuai di dalam peta cadangan guna tanah secara lebih terperinci.

     

    RSN dan RT yang mendapat persetujuan Kerajaan Negeri menjadi rujukan Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ajensi ajensi peringkat negeri dan persekutuan, penggerak projek, pemaju  dan  orang ramai yang bercadang memajukan sesuatu kawasan.

     

    Oleh itu setiap perancangan bagi membangunkan sesebuah kawasan baru perlu mematuhi kedua dua Rancangan Pemajuan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab untuk membangun atau memajukan kawasan baru perlu mematuhi dasar-dasar perancangan fizikal yang telah ditetapkan dalam RSN serta mematuhi perancangan guna tanah, zoning dan garis panduan yang ditetapkan dalam RT.

     

    Contohnya untuk membangunkan sebuah bandar baru yang mengandungi kawasan perumahan, perniagaan, industri dan aktiviti aktiviti lain, perlu mematuhi peta cadangan yang ditentukan di peringkat RT dan mendapatkan kelulusan kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT).

     

    Manakala bagi kawasan pembangunan yang melebihi 100 hektar atau menjana 10,000 penduduk, cadangan pembangunan perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) dan Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk mendapat nasihat tentang aspek perancangan peringkat negeri dan persekutuan sebelum PBPT memberi kelulusan kebenaran merancang.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.