Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

142) PERANCANGAN DAN BELANJAWAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan serta usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan perbelanjaan Negeri selaras dengan belanjawan yang dirancang dan dibentangkan pada setiap tahun (ini mengambil kira Jawatankuasa Kira-kira Kerajaan Negeri di dalam proses memastikan Belanjawan mengikut prosedur dan tiada pembaziran)

    Belanjawan awam bolehlah didefinisikan sebagai satu penyata hasil dan perbelanjaan bagi masa hadapan yang digunakan sebagai alat perancangan dan pengurusan penggunaan sumber-sumber ekonomi Negeri Selangor untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat serta melaksanakan dasar-dasar sosio-ekonomi yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan.

     

    Pengurusan Perbelanjaan Kerajaan

     

    Proses pelaksanaan komitmen kerajaan bermula dari ia dikenal pasti serta dinyatakan di peringkat belanjawan hingga kepada cara ia mencapai objektif-objektif yang telah dikenal pasti dan ditetapkan melalui program, aktiviti dan projek.

     

    Antara tindakan serta usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan perbelanjaan Negeri selaras dengan belanjawan yang dirancang dan dibentangkan pada setiap tahun adalah seperti berikut:

     

    Peraturan Kewangan

     

    Penguatkuasaan polisi, peraturan serta prosedur kewangan yang sedang berkuat kuasa sentiasa dipatuhi selain pemantauan yang dibuat oleh kerajaan Negeri secara berterusan ke atas jabatan-jabatan. Selain itu, kerajaan Negeri juga mengeluarkan Pekeliling dan Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor bagi tujuan kawalan perbelanjaan serta perbelanjaan berhemat.

     

    Contoh Surat Pekeliling yang dikeluarkan adalah Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil.3 Tahun 2008 Garis Panduan Bagi Perbelanjaan Secara Berhemat dan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil.1 Tahun 2009 Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Jawatankuasa Tetap.

     

    Semakan Bajet (Budget Review)

     

    Kerajaan Negeri juga telah memutuskan agar semakan bajet (budget review) di laksanakan sebanyak tiga (3) kali setahun bagi melihat prestasi perbelanjaan selain memastikan pegawai pengawal mengawal serta memantau kemajuan perbelanjaan dan penggunaan peruntukan bagi sesuatu maksud peruntukan yang telah diluluskan.

     

    Kursus  

     

    Kerajaan Negeri juga menyediakan dan memberi kursus kepada jabatan-jabatan kerajaan di Negeri Selangor bagi memberi pendedahan serta keberkesanan yang menyeluruh dalam menguruskan perbelanjaan jabatan.

     

    Contoh kursus yang dijalankan adalah seperti Kursus Terimaan dan Bayaran Kerajaan, Bengkel Senarai Semak Info Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Untuk Kerajaan Negeri (SPEKS) dan juga Perbendaharaan Negeri Selangor memberi khidmat guna tenaga kepada kursus-kursus pengurusan kewangan yang dianjurkan oleh jabatanjabatan lain.

     

    Sesi Pencambahan Pemikiran (Brainstorming Session)

     

    Sesi percambahan pemikiran juga diadakan secara berkala  bagi membincangkan isuisu serta penambahbaikan di dalam pengurusan perbelanjaan Kerajaan Negeri dengan melibatkan tiga (3) prinsip utama iaitu ‘value for money’ (iaitu sesuatu perbelanjaan hendaklah dibuat dengan kos yang optimum kepada kerajaan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat), legality (iaitu peruntukan dibelanjakan mengikut had dan maksud yang telah diluluskan dan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada) dan akauntabiliti (bermaksud terlaksananya program, aktiviti dan projek secara cekap dan berkesan dan dilaporkan dengan sewajarnya kepada pihak berkenaan).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.