Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

85) PERANCANGAN PEMBANGUNAN PBT

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Majlis Bandaran/Perbandaran telah ditugaskan untuk merancang kawasan masing-masing agar pembangunan berjalan dengan lancar. Adakah peraturan-peraturan yang bertulis di mana setiap projek pembangunan yang diluluskan beberapa tahun dahulu akan disemak kembali sebelum memulakan pembinaan khususnya dari segi maklumat baru tentang kepadatan penduduk, kepadatan kenderaan yang melalui kawasan tersebut, pembinaan yang baru wujud dan sebagainya

    Berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), sesuatu kebenaran merancang yang diberi di bawah Seksyen 22, mempunyai tempoh sah laku seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 24 iaitu selama 12 bulan  dari tarikh kebenaran diberi oleh pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT).

     

    Jika pembangunan tanah belum dimulakan lagi, pemilik tanah atau pemaju boleh mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh kebenaran merancang (pertama 12 bulan) atau tempoh lanjutan (kedua 12 bulan dan seterusnya tertakluk kepada kebenaran PBPT).

     

    Semasa menimbang permohonan melanjutkan tempoh kebenaran tersebut PBPT boleh mengenakan apa-apa syarat baru atau mengubah apa-apa syarat kebenaran asal.

     

    PBPT juga boleh menarik balik atau mengubahsuai kebenaran merancang atau membatalkan pelan bangunan yang telah diberi, atas maksud kepentingan awam seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 25. Menarik balik atau mengubahsuai kebenaran merancang atau membatalkan pelan bangunan perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor. Tetapi tindakan ini boleh menyebabkan pemilik tanah atau pemaju menuntut ganti rugi kepada PBPT.

     

    Jika tempoh kebenaran merancang telah tamat, maka pemilik tanah atau pemaju jika ingin meneruskan pembangunan tanah perlu mengemukakan semula permohonan kepada PBPT dan PBPT boleh mengenakan apa-apa syarat seperti dinyatakan dalam Seksyen 22.

     

    Oleh yang demikian, Seksyen 24 dan Seksyen 25, Akta 172 boleh diguna pakai bagi tujuan semakan semula Kebenaran Merancang atau pelan bangunan.

Lampiran

Tiada Lampiran.