Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

174) PERANCANGAN PEMBANGUNAN WILAYAH YANG KURANG MAJU

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan perancangan pembangunan wilayah yang kurang maju seperti Daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor?

    Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Selangor sebagai penasihat utama aspek perancangan pembangunan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) merencanakan visi dan misi PBN melalui rancangan pemajuan meliputi rancangan struktur negeri, rancangan tempatan dan rancangan kawasan khas. Semua rancangan pemajuan ini menjadi dokumen rujukan utama ‘stakeholders’ dalam merancang serta pelaksanaan pembangunan di Negeri Selangor amnya dan Daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor khususnya.

    Rancangan Struktur Negeri (RSN) Selangor 2035 merupakan dokumen statutori yang menerangkan secara jelas dasar-dasar serta cadangan strategik peringkat negeri. Dalam usaha memperkasakan pembangunan negeri selangor sebagai sebuah wilayah bandar yang berkembang maju, mampan dan makmur, 3 teras pembangunan utama telah dikenalpasti iaitu Teras Pembangunan 1: Ke Arah Wilayah Bandar Berkembang Maju; Teras Pembangunan 2: Ke Arah Wilayah Bandar Mampan; dan Teras Pembangunan 3: Ke Arah Wilayah Bandar Makmur.

    Daripada 70 dasar yang digubal lebih kurang 23 dasar menyentuh dengan jelas hasrat PBN untuk membangunkan Daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor, sebagai contoh:

    Dasar BM5: Konsep Pembangunan Industri Berkelompok Akan Terus Disokong dan Diperkukuh

    Inisiatif Pelaksanaan 2: Membangunkan aktiviti industri mengikut kelompok dan kawasan keutamaan pembangunan seperti Klaster Industri Automotif dan Sokongan (Serendah-Sg.Choh-Bukit Beruntung (hab automotif negara)); Klaster IKS Halal-industri Asas Tani dan Farmaseutikal (Sg.Lang); Klaster Industri Terpilih-Clean Industry (Koridor Lembah Beringin-Bernam Jaya) dan Klaster IKS Industri Perkhidmatan (Ijok).

    Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan pula ianya diterjemah dalam bentuk dokumen perancangan iaitu rancangan tempatan dan rancangan kawasan khas. Dokumen ini menggariskan cadangan pembangunan secara khusus mencakupi kekuatan serta keunikan setiap daerah atau kawasan yang terlibat. Terkini:

    1. Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam 2025
    2. Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor 2025
    3. Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 (untuk diangkat ke Mesyuarat JPN Selangor pada Disember 2020 )
    4. Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025 (peringkat JKSTP)
    5. Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Kubu Bharu 2025 (publisiti dan penyertaan awam)

    Selain itu, Pihak Berkuasa Negeri pada 2019 telah menjadikan RSN Selangor 2035 sebagai rujukan utama di dalam pencetusan idea Klusterisasi Negeri Selangor untuk memacu pembangunan ekonomi melalui potensi besar daerah-daerah yang terlibat iaitu:

    1. Pertanian & Industri Asas Tani di Tanjong Karang-Sungai Air Tawar, Sabak Bernam untuk meningkatkan tahap sara hidup petani melalui produk pertanian bernilai tinggi sekaligus mengekalkan kelestarian eko-sistem;

    2. Industri Automotif & Sokongan di Serendah-Sungai Choh-Bukit Beruntung, Hulu Selangor sebagai pangkalan industri pembuatan yang kukuh dan pusat pembuatan bagi pengeluar komponen automotif utama hasil daripada industri sokongan antaranya sekitar Taman Sains Automotif, Hulu Selangor;

    3. Eko-Pelancongan di Kuala Selangor kerana potensinya untuk merangsang industri pelancongan jelajah alam semulajadi, potensi menjadi tumpuan pencinta alam dan peminat sukan ekstrem serta menjadi pusat sehenti penjelajahan budaya dan sejarah bagi pelancong. Selain memulihkan pasaran pekerjaan penduduk tempatan ia turut mendorong pelancong mendekati sejarah, memelihara flora dan fauna unik yang ada di Negeri Selangor;

    4. Perikanan & Akuakultur di Kuala Selangor-Sabak kerana berpotensi menghasilkan lebih banyak produk agro berasaskan ikan dengan penggunaan teknologi. Pengusaha berpotensi;

    5. Industri Terpilih & Perkhidmatan: F&B, Sains Hayat & Pelancongan Kesihatan di Bernam Jaya di Lembah Beringin berikutan destinasi utama syarikat asing memperluaskan aktiviti perniagaan dan pengilang kerana tawaran khidmat tenaga buruh mahir telah mengundang ramai pelabur dengan kepesatan industri halal, sains hayat dan industri pelancongan perubatan

Lampiran

Tiada Lampiran.