Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

105) PERANCANGAN PENUBUHAN PUSAT INTERVENSI AWAL KANAK-KANAK ISTIMEWA

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan di dalam mewujudkan Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak Istimewa dan apakah jangkamasa pelaksanaannya di setiap DUN di seluruh Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri tidak meminggirkan golongan kanak-kanak atau murid berkeperluan khas dengan mendapatkan pembelajaran yang bersesuaian di samping meningkatkan, menaiktaraf dan menyediakan prasarana yang baharu dalam memastikan pendidikan murid berkeperluan khas terjamin.

    Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk dimanfaatkan institusi yang menyediakan perkhidmatan dan pembelajaran kepada kanak-kanak berkeperluan khas dengan bantuan untuk membiayai kos yuran pengajian, perkhidmatan terapi, kos penambahbaikan, kos operasi, menaiktaraf kemudahan dan lain-lain. Secara tidak langsung melalui pemberian bantuan ini, institusi berkenaan dapat menampung dan membuat penambahbaikan ke atas keperluan kanak-kanak istimewa dalam usaha memupuk dan membimbing mereka dalam meneruskan pembelajaran di bidang akademik, kehidupan seharian dan kemahiran bersosial serta perkembangan emosi.

    Selain itu, antara langkah lain yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan mewujudkan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) yang berperanan untuk mengusulkan, membawa dan membangunkan program dan strategi berkesan di dalam usaha menjamin kebajikan, pendidikan dan akses kesihatan kepada OKU dengan mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu semasa dan berbangkit yang berkaitan dengan hal ehwal OKU. Antara fungsi lain MTOS adalah untuk meningkatkan advokasi dengan kempen positif tentang kesedaran dan hak yang dianjurkan secara besar-besaran untuk menyedarkan masyarakat tentang isu-isu penting berkenaan dengan OKU seperti kepentingan intervensi awal (EIP), kepentingan memberi pendidikan inklusif dan menggalakkan institusi menerima OKU untuk bekerja dengan peningkatan kerjasama antara kerajaan dengan pihak swasta (public-private partnership).

    Kerajaan Negeri juga sedang merangka untuk mewujudkan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi membantu mengurangkan beban keluarga yang mempunyai anak-anak OKU dalam mendapatkan pemulihan dan pendidikan yang sempurna dari peringkat awal usia.

    Kerajaan Negeri juga dalam tindakan untuk menyediakan kursus kepada Shadow Teacher atau lebih dikenali sebagai “Cikgu AnIS” (Anak Istimewa Selangor) yang memberi kemahiran dalam mengendalikan anak-anak berkeperluan khas. Ahli-ahli yang Berhormat sekalian, pada masa kini, penerimaan taska sedia ada terhadap golongan anak-anak berkeperluan khas adalah kurang dan sekali gus menjadi dilema kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak istimewa ke institusi yang menyediakan kemudahan dan pendidikan yang diperlukan oleh anak-anak mereka.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dalam tindakan merangka sebuah program yang dikenali sebagai Cikgu AnIS iaitu penyediaan shadow teachers yang akan diberi kemahiran dalam mengendalikan anak-anak berkeperluan khas di taska-taska sedia ada di seluruh Selangor.

    Selaras dengan objektif iaitu untuk memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai aksesibiliti pendidikan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas, program Cikgu AnIS ini diharapkan mampu membina ruang pergaulan yang lebih inklusif di antara yang normal dan istimewa serta mengubah perspektif dan stigma masyarakat terhadap golongan istimewa ini.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.