Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

233) PERATUSAN WANITA DI SEMUA PERINGKAT PEMBUAT DASAR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah rancangan Kerajaan melalui Institut Wanita Berdaya bagi mencapai sasaran 30 peratus wanita di dalam semua peringkat pembuat dasar dan keputusan di bawah kerajaan?

    Selaras dengan Matlamat 1: Menggalakkan kerangka pembangunan yang sensitif Gender dan Matlamat 4: Mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020, proses pemberdayaan wanita merupakan sebuah perjalanan yang panjang, malah World Economic Forum (WEF) menjangkakan Iceland iaitu negara pertama dalam kedudukan indeks jurang gender 108 tahun diperlukan untuk mengatasi jurang gender.[1]

    Kerajaan Negeri Selangor mengambil berat akan usaha untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita di dalam semua peringkat pembuat dasar dan keputusan di peringkat kerajaan. Kerajaan Negeri menerusi penubuhan badan pemikir, Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah mengusahakan beberapa program pemberdayaan wanita menerusi pembangunan kapasiti (capacity building) di peringkat akar umbi (grassroot) dan wanita muda serta mengarusperdanakan gender di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri seperti berikut :-

     

    1. Pertama, melalui pelaksanaan program akar umbi iaitu Akademi Kepimpinan Wanita (AKW), Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah melaksanakan program dengan kerjasama dengan Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Pusat Wanita Berdaya dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. AKW merupakan sebuah program intensif hasil cetusan idea YB Dr. Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor untuk memantapkan kemahiran dan bertindak sebagai ‘paip bakat’ (talent pipeline) untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam lapangan politik dan kerja sosial dalam usaha menjadi pemimpin. Matlamat pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan Dasar Wanita Selangor yang ke ke-4 iaitu mempercepat penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita dengan Kemahiran Organisasi, Kesaksamaan Gender, Kepimpinan Politik dan Kemahiran Insaniah. Program rintis ini menyasarkan 30 peratus daripada graduan AKW memegang jawatan kepimpinan khususnya dalam tempoh 5 tahun akan datang.

     

    1. Kedua adalah Program Women2Win, sebuah program pembangunan kapasiti dan merupakan kerjasama di antara IWB dan The Sasakawa Peace Foundation (SPF) bagi mengetengahkan bakat wanita muda untuk menjadi pemimpin di samping mempersiapkan calon wanita untuk mencalonkan diri dalam pilihan raya negara mereka yang akan datang.

     

    1. Ketiga, sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan adalah tidak mustahil sekiranya para pentadbir atau pegawai di agensi atau jabatan kerajaan negeri diberi pendedahan dan pemahaman tentang gender. Justeru, Kerajaan Negeri menerusi IWB Selangor sebagai badan pemikir membawa mandat untuk menginstitusikan gender adalah mustahak melalui pelaksanaan program Pengarusperdanaan Gender atau Gender Mainstreaming. Untuk makluman, Selangor merupakan negeri pertama yang melaksanakan pengarusperdanaan gender di Malaysia pada peringkat negeri. Selaras Dasar Wanita Selangor melalui Matlamat satu (1) Menggalakkan Kerangka Pembangunan Gender Sensitif. Menerusi pelaksanaan Pengarusperdanaan Gender di Selangor, beberapa Pegawai Titik Tumpuan Gender (Gender Focal Point-GFP)  dan Pasukan Tumpuan Gender (Gender Focal Team-GFT) telah dilantik di empat (4) portfolio perintis di Negeri Selangor secara berperingkat selama tiga (3) tahun.
    • Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS),
    • Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor
    • Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor
    • Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

     

    1. Kerajaan Negeri di peringkat tertinggi sentiasa komited terhadap segala usaha yang dilakukan bagi memperkasa dan memperkukuhkan keterangkuman wanita di Negeri Selangor kerana ia adalah sebahagian daripada agenda kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh selain selaras dengan dengan beberapa Matlamat Pembangunan Lestari yang perlu dicapai menjelang tahun 2030 seperti berikut:-
    • Matlamat 5 : Kesaksamaan Gender;
    • Matlamat ke-10 : Menutup jurang ketidaksamaan gender;
    • Matlamat 11 : Bandar dan komuniti mampan; dan
    • Matlamat 17 : Kerjasama bagi mencapai matlamat.

Lampiran

Tiada Lampiran.