Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

31) PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program-program yang telah dijalankan untuk memupuk budaya membaca di Selangor?

    Program-program yang dirancang dan telah dijalankan mensasarkan kepada semua golongan masyarakat daripada peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, golongan belia, golongan dewasa dan masyarakat umum dengan menjurus kepada pembacaan, ilmu pengetahuan, penggunaan perpustakaan, penggunaan IT, pemupukan minat dan bakat, keterampilan, kekeluargaan, cara dan gaya hidup dan kemasyarakatan.

     

    Selain daripada itu, program-program yang berterusan telah dirancangkan bagi menggalakkan penggunaan perpustakaan dan galakan membaca. Program-program ini dijalankan oleh pihak perpustakaan sendiri juga oleh Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi merancang dan menggerakkan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada menanam tabiat suka membaca di kalangan masyarakat di semua peringkat umur di bandar dan di luar bandar. Di setiap daerah pula ditubuhkan Jawatankuasa Gerakan Membaca Daerah dengan peranan yang sama.

     

    Di peringkat pra sekolah aktiviti yang dirancangkan merupakan galakan membaca yang di terapkan melalui aktiviti yang berunsurkan pengujian minda dan bakat antaranya pertandingan bercerita, melukis dan mewarna, kemahiran berbahasa, kraf tangan, persembahan boneka, kemahiran IT dan sebagainya.

     

    Bagi peringkat sekolah rendah pula program yang disediakan  berbentuk kepimpinan diri, pengujian daya intelek, kaunseling, panduan kerjaya, seminar peperiksaan, pendedahan kepada IT dan dunia siber dan sebagainya, antara aktiviti untuk golongan ini ialah Pertandingan pencarian maklumat, Motivasi kecemerlangan akademik, peraduan reka cipta laman web, English in camp, pertandinagn Spell it right, pidato, kuiz dan sebagainya.

     

    Bagi golongan remaja dan belia program yang dirancangkan selain daripada galakan membaca dan menggunakan perpustakaan tumpuan kepada jati diri, memperkasa diri dengan ilmu, menanam nilai murni dalam kehidupan, kerjaya serta motivasi. Antara programnya ialah seminar dan bengkel berkaitan pembacaan, kemahiran dan kerjaya, peranan belia, kolokium penulisan, pesta pantun dan sayembara puisi, kembara bahasa serta lain-lain lagi.

     

    Bagi golongan dewasa dan masyarakat umum usaha yang berlipat ganda diteruskan bagi menyuburkan kembali golongan ini kepada membaca dan perpustakaan. Mereka merupakan role model bagi seisi keluarga. Program yang dijalankan bercorak pencarian maklumat, pemilihan bahan bacaan yang sesuai, pendedahan kepada IT dan kekeluargaan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Kuiz JKKK, Bahas JKKK, Bengkel Speed Reading, sudut perpustakaan keluarga, pengisahan sejarah, bacaan kegemaran saya, seminar pembacaan, diskusi buku dan lain-lain lagi. Program Kembara Ilmu negeri Selangor juga telah diadakan di daerah-daerah.

     

    Program tahunan iaitu Pesta Buku Selangor, kerajaan negeri mengambil inisiatif menjadikannya sebagai wadah berguna untuk menanam budaya cintakan ilmu di kalangan masyarakat setempat.

     

    Pesta Buku ini adalah usaha proaktif kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan beberapa agensi kerajaan antaranya

    Jabatan Pelajaran Negeri, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Penerangan, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia dan pelbagai agensi yang lain.

    Antara tujuan penganjuran Pesta Buku Negeri Selangor adalah:

    • Memberi peluang kepada komuniti untuk memilih dan memperoleh bahan bacaan bermutu tinggi dan terkini.
    • Meneruskan usaha-usaha merangsang dan mempromosi budaya membaca.
    • Memaju dan menggalakkan penerbitan serta perusahaan buku di negeri Selangor.
    • Meneruskan rangkaian harmoni dalam kalangan golongan ikhtisas yang berkait rapat dengan penerbitan dan pembangunan industri buku.
    • Mengenal pasti pelbagai inisiatif baru medium pembelajaran dan bacaan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat dan institusi.
    • Memberi perhatian kepada penerbitan buku-buku yang mengandungi sistem peradaban, nilai dan budaya yang menggambarkan Bangsa Malaysia; selaras dengan hasrat mencapai wawasan mewujudkan generasi berilmu yang maju melalui pembacaan.

    AKTIVITI SAMPINGAN

    • Pelbagai pertandingan seperti peraduan mewarna, melukis dan bercerita (penyertaan sekolah-sekolah).
    • Baca cerpen bersama KAVYAN
    • Bersama Pekomik / Pekatun
    • Bersama Upin & Ipin
    • Kempen keahlian perpustakaan
    • Aktiviti dari Perpustakaan Awam Negeri – jemputan

     

    Semua program yang dirancangkan bermatlamatkan:

     

    • Menyemai minat membaca dan menjadikannya satu budaya dan amalan harian masyarakat
    • Menjadikan perpustakaan sebagai tempat kunjungan oleh semua lapisan masyarakat sama ada untuk menimba ilmu, merehatkan minda, membuat penyelidikan
    • Menggalakkan amalan membaca sebagai satu amalan yang mendatangkan faedah kepada masyarakat dari segi minda yang sihat, matang, intelek dan menjadi masyarakat yang berguna kepada negara

     

    Semua program –program dirancang dan mendapat kerjasama daripada pihak lain seperi jabatan-jabatan kerajaan, majlis daerah, pejabat daerah, pejabat pendidikan, penghulu, JKKK, pihak swasta dan badan-badan sukarela.

     

    Usaha untuk menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat akan diteruskan sejajar dengan hasrat mewujudkan masyarakat berilmu. Pelaksanaan dan penganjuran aktiviti ilmu seperti ini diharapkan mampu meningkatkan budaya membaca di kalangan masyarakat.

Lampiran

Tiada Lampiran.