PERBELANJAAN MEMBANTERAS KEMISKINAN

127) PERBELANJAAN MEMBANTERAS KEMISKINAN

Tahun:

Sesi:

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan perbelanjaan mengikut program dalam perkara membanteras kemiskinan pada tahun 2014?

    Strategi utama pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-

    • Teras 1: Program yang berupaya menjana dan meningkatkan pendapatan:-
    • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    • Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
    • Program Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS
    • Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
    • Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
    • Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.

    Program-program pembasmian kemiskinan ini diharap berupaya memastikan golongan miskin yang benar-benar memerlukan bantuan dapat dibantu dan sentiasa mendapat manfaat yang mana seterusnya menghasilkan impak positif dan berkesan terhadap taraf hidup rakyat secara berterusan.

    Secara dasarnya, peruntukan P01: Pembangunan asal yang diperolehi oleh Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bagi tahun 2014 adalah berjumlah RM4,000,000.00 (RM2 juta di bawah vot P01-02002: Program Pembasmian Kemiskinan dan RM2 juta di bawah vot P01-07011: Program Kemahiran Teknikal). Walau bagaimanapun, memandangkan program-program di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan melibatkan peruntukan yang besar, permohonan peruntukan tambahan telah dibuat mengikut keperluan. Secara keseluruhannya, jumlah perbelanjaan adalah berjumlah RM10,711,229.58 iaitu sebanyak 98% berbanding peruntukan berjumlah RM10,842,000.00. Perincian peruntukan dan perbelanjaan P01: Pembangunan bagi program-program pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bagi tahun 2014 adalah seperti di LAMPIRAN 1. Manakala bagi peruntukan mengurus (B01) pula, jumlah perbelanjaan adalah berjumlah RM91,000.00, iaitu sebanyak 96.28% berbanding peruntukan berjumlah RM95,454.54. Perincian peruntukan dan perbelanjaan B01: Mengurus bagi program-program pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bagi tahun 2014 adalah seperti di LAMPIRAN 2.

    Oleh yang demikian, ini menunjukkan bahawa semua program pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bagi tahun 2014 yang dirancang telah dilaksanakan menggunakan peruntukan sedia ada tahun 2014 serta telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.