Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

87) PERGANTUNGAN PENDAPATAN

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pergantungan pendapatan Kerajaan Negeri kepada hasil tanah dan apakah tempoh perancangan tersebut?

    Sumber hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan. Di antara elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah :

    • Hasil tanah;
    • Hasil lombong;
    • Hasil hutan;
    • Duti hiburan;
    • Terimaan mengenai bekalan dan perkhidmatan air;
    • Sewa dan jualan harta Negeri;
    • Bayaran fi,    denda   dan   pelucuthakkan  mahkamah   selain   daripada mahkamah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan;
    • Faedah atas baki wang negeri;
    • Bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri; dan
    • Harta

     

    Di antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk meningkatkan hasil adalah :

    • Membuat penilaian ke atas kadar dan pengurusan ke atas hasil sedia ada. Contohnya berdasarkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dan merujuk kepada Kaedah-Kaedah Tanah Selangor (Perihal Kaedah 24) maka Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menaikkan kadar caj royalti, premium dan ses bagi hasil bahan batuan granit (Kuari) yang dikeluarkan daripada Hutan Simpanan Kekal. Kenaikan kadar adalah daripada RM6.76/m3 kepada RM10.15/m3. Kenaikan kadar telah menyumbang kepada kenaikan Hasil Cukai Hutan yang berjumlah RM48.4 juta pada tahun 2015 berbanding sebanyak RM25.8 juta pada tahun 2014;

     

    • Menguatkuasakan duti hiburan ke atas taman-taman tema di Selangor selepas pengecualian berkenaan dimansuhkan oleh Kementerian Kewangan bermula pada Februari 2014;

     

    • Mendapatkan bayaran premium yang belum diterima daripada Kerajaan Persekutuan ke atas tanah yang dibangunkan oleh syarikat konsesi lebuh raya sebagai tapak komersial seperti stesyen minyak, restoran, hotel, kedai dan gerai;

     

    • Melaksanakan projek Urban Regeneration Development yang akan memangkin pembangunan semula bandar dari segi lansdkap, rekabentuk, infrastruktur dan ekonomi komuniti setempat. Projek Urban Regeneration Development juga akan menjana hasil baru;

     

    • Cadangan supaya mengenakan caj perkhidmatan ke atas Kerajaan Persekutuan sebanyak 10% daripada kutipan duti setem bagi urusniaga pindah milik hartanah kepada Kerajaan Negeri; dan

     

    • Cadangan pengenaan caj khusus bagi penginapan di hotel-hotel seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang. Di Negeri Melaka caj khusus tersebut dikenali sebagai Caj Fi Warisan, manakala di Pulau Pinang dikenali sebagai Fi Pihak Berkuasa

     

    Bagi cadangan seperti perkara no. 5 dan 6, tempoh memperolehi hasil daripada perkara ini adalah tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.