Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

37) PERJANJIAN PENGSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah dokumen perjanjian industri air dapat didedahkan kepada umum, seperti yang dijanjikan oleh mantan Menteri Besar Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan asas-asas ketelusan dan integriti di dalam semua perkara apatah lagi dalam hal yang melibatkan rakyat secara langsung seperti industri perkhidmatan air. Salah satu objektif penstrukturan industri perkhidmatan air negara sebagaimana yang pernah dibahaskan di dalam Parlimen adalah untuk memastikan bahawa kepentingan pengguna dipelihara. Selari dengan ini, prinsip ketelusan (transparency) sudah semestinya menjadi salah satu prinsip utama yang harus diutamakan di dalam mana-mana perjanjian yang ditandatangani setelah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta IPA 2006) diwartakan. Proses yang tidak telus dan diselubungi dengan rahsia seperti yang diguna pakai pada waktu sebelum AKTA IPA 2006 diwartakan seharusnya tidak lagi dipraktikkan pada masa ini.

     

    Memandangkan perjanjian penstrukturan semula ini melibatkan kepentingan umum, Kerajaan Negeri Selangor telah berapa kali menggesa Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) supaya isi kandungan perjanjian-perjanjian yang terlibat perlu didedahkan kepada umum.

     

    Namun demikian, di dalam perjanjian-perjanjian berkaitan dengan industri perkhidmatan air yang telah dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dengan Kerajaan Persekutuan, terdapat peruntukkan mengenai “Kerahsiaan” dan diklasifikasikan sebagai Dokumen Terperingkat. Sebarang pendedahan ke atas Perjanjian tersebut kepada pihak lain selain daripada yang telah dipersetujui, boleh menyebabkan pihak-pihak terdedah kepada tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Dalam hal ini, sebelum Kerajaan Negeri Selangor boleh mendedahkan perjanjian-perjanjian tersebut kepada pihak ketiga, kebenaran dan persetujuan Kerajaan Persekutuan perlulah diperoleh terlebih dahulu.

     

     

    Selepas Perjanjian Utama (Master Agreement) mengenai penstrukturan semula ditandatangani ada 12 September 2014, Kerajaan Negeri Selangor telah menulis kepada KTTHA pada 9 Oktober 2014 bagi mendapatkan persetujuan supaya perjanjian tersebut dapat diklasifikasikan sebagai dokumen awam. Dengan membenarkan Perjanjian-perjanjian ini diklasifikasikan sebagai dokumen awam, segala dakwaan dan tohmahan bahawa proses rundingan dijalankan tidak telus dan memanfaatkan sesuatu pihak sahaja dapat disangkal dengan sepenuhnya. Namun demikian, tiada sebarang maklum balas bertulis yang diterima dari pihak KTTHA berhubung permohonan tersebut.

     

    • Perjanjian jual beli air mentah di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura ditandatangi pada tahun 1962 manakala Perjanjian di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Pahang ditandatangani pada 22 November tahun 2007. Ini jelas menunjukkan bahawa persetujuan dan penetapan ke atas harga pembelian tersebut dibuat sebelum tahun 2008.

Lampiran

Tiada Lampiran.