Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

179) PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA)

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Kerajaan Negeri Selangor terhadap TPPA?

    a , b) dan c)

     

    Perkongsian Trans-Pasific merupakan satu perjanjian multilateral yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. Perjanjian ini dilihat merupakan satu bentuk liberalisasi pasaran di mana negara yang mematerai perjanjian bebas melaksanakan aktiviti perdagangan antara negara tanpa sempadan. Dalam usaha untuk membuka pasaran negara ke tahap globalisasi Kerajaan Persekutuan tidak sedar bahawa perjanjian ini sebenarnya mendedahkan negara kepada risiko pasaran ekonomi bebas. Ini ditambah dengan teks perjanjian yang tidak telus dan dilaksanakan tanpa rundingan terlebih dahulu bersama Kerajaan Negeri sendiri. Kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri hanya menyatakan bahawa tempoh rundingan telah hampir tamat dan membuat kesimpulan bahawa TPPA memberi manfaat besar dan kesan positif kepada ekonomi negara tanpa membuat rundingan terlebih dahulu bersama rakyat.

     

    Kerajaan Negeri Selangor membantah dan tidak bersetuju dengan perjanjian ini berdasarkan hujah seperti berikut :

    1. Konsep globalisasi yang menjadi asas kepada perjanjian ini akan menyukarkan usahawan kecil untuk tumbuh dan kukuh di negara sendiri. Usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara yang sememangnya telah kukuh dan lama bertapak di pasaran antarabangsa. Kepentingan syarikat luar negara dan tempatan adalah sama rata seolah-olah kepentingan dan hak dinafikan di tanah air sendiri;

     

    1. Sektor perubatan turut akan terkesan dengan apabila selepas perjanjian ini dimaterai hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal sehingga mencecah 1,000%. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh lagi dijual di Malaysia kerana Malaysia akan terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat farmaseutikal luar negara. Perkara ini akan lebih membebankan rakyat dan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat Malaysia. Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa harga ubat tidak akan menjadi mahal tanpa fakta dan asas yang kukuh;

     

    • Perjanjian ini akan membolehkan produk dan barangan daripada luar masuk ke negara secara bebas. Lambakan produk luar negara akan bersaing secara terbuka dengan pasaran tempatan. Ini memberi kesan kehilangan identiti dan produk tradisional sekiranya produk tempatan gagal bersaing dengan produk luar negara. Sekaligus akan jelas bercanggah dengan usaha-usaha Kerajaan untuk mengukuhkan produk tempatan;

     

    1. TPPA turut menjejaskan sektor perkhidmatan meliputi sektor profesional tempatan yang terpaksa bersaing di pasaran terbuka. Adakah gaji dan upah profesional luar sama dengan gaji profesional tempatan turut menjadi persoalan dan adakah profesional Malaysia sudah bersedia berhadapan dengan senario ini dan apakah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menjaga kepentingan profesional Malaysia; dan

     

    1. TPPA merupakan satu bentuk penjajahan secara halus negara kuasa besar Amerikak Syarikat untuk mengawal tindak tanduk negara dan memanipulasi negara-negara Asia Pasifik bagi mengatasi kuasa besar China.

     

    Berdasarkan justifikasi-justifikasi berikut, jelas menunjukkan bahawa TPPA akan lebih memberi impak negatif terutama kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Teks perjanjian TPPA yang tidak didedahkan kepada Kerajaan Negeri mahupun umum menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah perjanjian ini mampu membela dan menjaga kepentingan rakyat  Malaysia atau sebaliknya. Kerajaan Persekutuan hanya memberikan janji dan pelbagai jaminan bahawa perjanjian ini tidak akan menjejaskan kepentingan rakyat tanpa memberi fakta yang jelas terhadap pernyataan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.