Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

193) PERKEMBANGAN PENSTRUKTURAN SEMULA ASET-ASET AIR DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan penstrukturan semula semua aset-aset air di Negeri Selangor sejak MOU ditandatangani antara pihak Air Selangor dan SPLASH?

    Jawapan bagi soalan No. 193 bahagian (a) dari Yang Berhormat Bukit Lanjan telah dijawab bersekali dengan soalan No. 148, bahagian (a) oleh Yang Berhormat Bukit Gasing.

    Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 01 Ogos 2018 telah meluluskan penyelesaian pelaksanaan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pengambilalihan SPLASH berdasarkan kepada rundingan dan persetujuan yang telah dicapai bersama antara Kerajaan Negeri Selangor, Air Selangor dan Pemegang Saham SPLASH, yang terdiri dari Gamuda Berhad (“Gamuda”) (40%), The Sweet Water Alliance (“TSWA”) (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“KPS”) (30%).

    Berdasarkan kepada ketetapan yang telah dibuat di dalam MMKN tersebut, pada 03 Ogos 2018, Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor telah pun mengemukakan surat tawaran pengambilalihan kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH). Tawaran ini dibuat kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (SPLASH Holdings), pemegang saham tunggal SPLASH.

    SPLASH Holdings telah menerima tawaran Air Selangor untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) secara prinsipnya pada 9 Ogos 2018. Perjanjian Pembelian Saham (Share Purchase Agreement, SPA) telah berjaya dimeterai pada 28 September 2018 setelah semua pihak berpuas hati dengan terma dan syarat yang telah dipersetujui ke atas SPA tersebut. SPA tersebut dijangka akan diselesaikan di dalam tempoh antara tiga (3) sehingga enam (6) bulan, bergantung kepada penyelesaian ke atas pelbagai perjanjian lain yang turut saling berhubungan (interconnected) dengan SPA

    Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui surat bertarikh 13 November 2018 telah menyampaikan keputusan Memorandum Jemaah Menteri bertajuk “Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor berserta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 26 Oktober 2018” telah bersetuju dengan Pengambilalihan SPLASH oleh Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM2.55 bilion dilaksanakan melalui kaedah pembiayaan seperti berikut:-

    • Penyediaan kemudahan pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB berjumlah RM1.9 bilion secara lump sum seperti berikut:-

     

    • Pembiayaan melalui   baki   kemudahan   pembiayaan   di                          bawah Perjanjian Utama berjumlah RM317,565,425.00;

     

    • Pembiayaan melalui kemudahan tambahan berjumlah 583 bilion.

     

    • Pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM650 juta melalui Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor).

      Berdasarkan kepada persetujuan yang telah dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung pembiayaan pengambilalihan SPLASH dan mengambil kira penyediaan dan penyempurnaan dokumentasi yang terlibat seperti penamatan Perjanjian Konsesi Air sedia ada, pindaan ke tiga kepada Perjanjian Utama, penerbitan bon oleh PAAB, pengeluaran lesen oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan lain-lain dokumentasi yang terlibat, maka adalah dijangkakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Selangor ini dapat diselesaikan sepenuhnya tidak lewat dari 30 Mac 2019.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.