Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

120) PERKHIDMATAN AWAM KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Artikel 132 Perlembagaan Persekutuan membenarkan setiap Kerajaan Negeri melantik pegawai-pegawai untuk perkhidmatan awamnya tetapi Kerajaan Negeri Selangor telah sentiasa meminjam pegawai-pegawai daripada Kerajaan Persekutuan menurut Artikel 134 Perlembagaan Persekutuan. Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk tidak lagi meminjam pegawai daripada Persekutuan?

    ) Buat masa ini, Pentadbiran Kerajaan Negeri menempatkan pegawai secara peminjaman di beberapa jawatan strategik Jabatan / Agensi berdasarkan kepada status jawatan berkenaan yang diklasifikasikan sebagai ‘Jawatan Terbuka’* dan dilaksanakan selaras dengan pemakaian Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008 ‘Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Peminjaman, Pertukaran Sementara dan Pertukaran Tetap’.

     

    Penempatan secara peminjaman pegawai ini di Jawatan-jawatan Terbuka berkenaan masih diteruskan kerana kaedah peminjaman ini merupakan salah satu daripada kaedah pelantikan pegawai sedang berkhidmat yang boleh digunakan oleh sesebuah Jabatan / Agensi untuk mendapatkan perkhidmatan pegawai-pegawai yang berpengalaman, berkemahiran, berwibawa dan bersesuaian dengan keperluan Jabatan / Agensi berkenaan.

     

    * Jawatan Terbuka Jawatan yang hanya grednya telah ditentukan tanpa menetapkan skim perkhidmatan. Jawatan ini boleh diisi oleh pegawai yang sesuai dari mana-mana skim

    perkhidmatan.

     

    Dalam konteks persoalan yang dibangkitkan, Pentadbiran Kerajaan Negeri mendapati bahawa penempatan secara peminjaman di jawatan-jawatan strategik ini tidak hanya melibatkan pegawai-pegawai Persekutuan sahaja kerana pelaksanaan sekarang juga melibatkan beberapa orang pegawai lantikan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Penempatan secara peminjaman ini dilaksanakan berdasarkan keperluan dan kriteria-kriteria yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.