Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

31) PERKHIDMATAN BAS AWAM

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejak tahun 2018 terdapat banyak aduan berkenaan kekurangan perkhidmatan bas awam disebabkan pengurangan subsidi Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) kepada pengusaha bas, apakah tindakan atau perancangan Kerajaan Negeri untuk menambah baik perkhidmatan bas awam di dalam negeri?

    Pemberian subsidi Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) adalah daripada Kerajaan Persekutuan kepada operator perkhidmatan bas henti-henti. Ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk memastikan jaringan pengangkutan awam akan lebih efisyen dan operator tersebut berkeupayaan untuk menyediakan perkhidmatannya dengan baik kepada rakyat.

    Pengurangan subsidi ini memberi kesan ke atas pengurangan perkhidmatan bas awam kerana penyedia bas tidak mampu menampung kos perkhidmatan yang meningkat dengan jumlah pengguna bas yang rendah dan tidak mendatangkan keuntungan.

    Namun, pada masa ini, Kerajaan Negeri hanya mampu menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor sebagai inisiatif kerajaan untuk mengatasi masalah jaringan pengangkutan awam di laluan sosial yang tidak pernah mempunyai perkhidmatan bas. Walau bagaimanapun, inisiatif ini juga tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa dan perkhidmatan bas ini memerlukan peruntukan yang tinggi serta memberi implikasi yang besar terhadap kewangan negeri yang sepatutnya adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri juga akan merangka perancangan untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan bas awam swasta yang efisyen dan berkemampuan bagi menyediakan perkhidmatan mereka sepertimana pengoperasian bas henti-henti sedia ada bagi menambahbaik sistem pengangkutan di kawasan yang dikenalpasti berdasarkan kajian pengangkutan awam yang dihasilkan oleh PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.