Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

118) PERKHIDMATAN BAS PERCUMA

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan induk Kerajaan dalam memberi perkhidmatan bas percuma di seluruh Selangor?

    Pelaksanaan jaringan pengangkutan yang mantap dan mengutamakan kepentingan rakyat akan menjadi asas kepada perancangan sistem pengangkutan awam di seluruh Negeri Selangor. Ini termasuklah komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan perkhidmatan bas secara percuma bagi meningkatkan mutu dan tahap sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil pendekatan dengan menjalankan kajian-kajian tertentu sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan sebarang projek pengangkutan awam. Kajian yang dijalankan akan meliputi sistem pengangkutan awam sedia ada, rangkaian jalan raya serta lalu lintas untuk membolehkan sistem pengangkutan awam yang dilaksanakan di Negeri Selangor mudah dan senang diakses serta mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

    Berdasarkan kepada kajian dan semakan yang telah dibuat sebelum ini, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan perkhidmatan bas percuma antara bandar. Perkhidmatan bas percuma yang kini dikenali sebagai Bas Smart Selangor ini telah dilaksanakan di Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Ampang Jaya dan Kajang. Turut menyediakan perkhidmatan bas percuma adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang telah menyediakan perkhidmatan bas Komuniti MBPJ. Pada tahun 2016 pula, perkhidmatan Bas Smart Selangor akan diperluaskan ke enam (6) PBT iaitu MP Selayang, MP Sepang, MD Kuala Langat, MD Hulu Selangor, MD Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

    Untuk memajukan infrastruktur pengangkutan awam juga, Kerajaan Negeri akan memastikan sistem pengangkutan awam yang disediakan dapat

     

    memenuhi keperluan dan kemudahan rakyat. Dengan menitikberatkan beberapa aspek penting dalam perkhidmatan awam iaitu ketepatan masa, kualiti perjalanan, akses yang mudah dan kapasiti yang mencukupi, keutamaan aspek-aspek ini dapat menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.