Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

161) PERKHIDMATAN BAS PERCUMA ( SELANGORKU )

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perkhidmatan tersebut hanya tertumpu di kawasan bandar halus diperluaskan ke kawasan luar bandar untuk memudahkan orang awan berulang-alik ke PBT/ Pejabat Tanah & Daerah. Apakah pandangan Kerajaan Negeri Selangor dan tindakan seterusnya?

    Inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyediakan perkhidmatan bas secara percuma berjaya direalisasikan pada 1 Julai 2015 dengan pelancaran bas yang dikenali sebagai Bas Selangorku di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

    Pemilihan ketiga-tiga Pihak berkuasa Tempatan (PBT) tersebut bagi perkhidmatan Bas Selangorku untuk fasa pertama di kawasan bandar adalah kerana Kerajaan Negeri ingin menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian yang menyebabkan kesesakan aliran trafik di kawasan tumpuan terutama di kawasan bandar. Selain itu, jumlah peruntukan yang terhad iaitu sebanyak RM3.5 juta hanya dapat dilaksanakan di tiga (3) PBT dengan satu laluan sahaja setiap PBT pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri yakin bahawa pelaksanaan Bas Selangorku dapat diperluaskan di setiap PBT di Negeri Selangor secara berperingkat pada masa hadapan. Bagi fasa kedua, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk dilaksanakan di kawasan Kajang dan Ampang Jaya yang menghubungkan laluan LRT dan MRT.

    Pihak Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan melihat hasil keberkesanan serta impak positif yang diterima daripada projek tersebut bagi merancang pelaksanaan seterusnya untuk diperluaskan di kawasan luar bandar selaras dengan pembangunan sistem pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas di seluruh Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.