Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

22) PERLESENAN SAMPAN DI KUALA LANGAT DAN SEPANG

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah punca lesen sampan dibekukan ekoran sumber laut berkurangan?

    Jabatan Perikanan Malaysia membekukan pengeluaran lesen vesel menangkap ikan bagi Zon A (Tradisional) di seluruh negara sejak tahun 1980an lagi. Perkara tersebut dinyatakan adalah berdasarkan kepada hasil kajian saintifik yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (IPP). (Rujuk Sisipan Tambahan 1).

    Kajian sumber perikanan yang dilakukan pada tahun 1970an, 1980an, 1990an dan 2010 di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia menunjukkan sumber perikanan di Semenanjung Malaysia terutamanya Zon Pantai mengalami kemerosotan ketara dan telah mencapai tahap eksploitasi optima.

    Hasil kajian sumber perikanan ini juga menunjukkan bahawa sumber perikanan laut dalam di Pantai Barat Semenanjung Malaysia juga mengalami kemerosotan dan mencapai tahap eksploitasi optima. Oleh yang demikian, Jabatan Perikanan Malaysia juga telah membekukan pengeluaran lesen vesel menangkap ikan Zon B, Zon C dan Zon C2 di negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.