Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

274) PERMATANG KUARTZA BUKIT TABUR HULU KELANG

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pewartaan Permatang Kuartza di Bukit Tabur?

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan khazanah alam semulajadi Permatang Kuarza ini terus terpelihara dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 26hb Jun 2013 telah menimbang dan meluluskan cadangan pencalonan Permatang Kuarza Genting Kelang (PKGK) sebagai tapak warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Borang Penamaan Sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Seksyen 68 Akta Warisan Kebangsaan 2005 telah dikemukakan kepada Jabatan Warisan Negara pada 18hb Oktober

    Seterusnya, Jabatan Warisan Negara pada 26 Disember 2013 telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pakar di Jabatan Warisan Negara dan telah bersetuju untuk mencadangkan tapak ini diangkat sebagai Tapak Warisan Kebangsaan. Walaubagaimanapun, ianya mesti terlebih dahulu diangkat sebagai Tapak Warisan sebelum diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

    Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara mengeluarkan Notis Niat di bawah Seksyen 27, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan seterusnya melaksanakan proses-proses di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

    Sebagai pendidikan dan pendedahan awal kepada pihak-pihak berkepentingan, satu Seminar Pemeliharaan Tapak Warisan Semulajadi Negeri Selangor telah diadakan pada 18hb November 2014 sebagai langkah awal dan input untuk merangka penyediaan ‘Conservation Management Plan’ (CMP) dengan izin. Seterusnya, Kerajaan Negeri akan terus merangka program dan penerbitan bagi menyokong proses-proses ke arah pengiktirafan yang telah ditetapkan Jabatan Warisan Negara dan badan dunia UNESCO.

Lampiran

Tiada Lampiran.