Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

195) PERMIT KEGUNAAN UNTUK AKTIVITI PERTANIAN DI HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT SELATAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini untuk perkara ini memandangkan perkara ini pernah dibincangkan di pihak MMKN tetapi masih belum apa-apa keputusan terkini?

    Maklumat-maklumat mengenai kawasan yang terlibat telah diperolehi dan Kertas Ringkasan Cadangan Kelulusan Pemberian Permit Penggunaan Melalui Program Pemutihan Ke Atas Kawasan Pencerobohan dan Penerokaan Secara Haram di Dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan Melalui Pendekatan Kaedah dan Amalan Perhutanan Tani telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 12 Jun 2019. Hasil daripada keputusan mesyuarat berkenaan, kertas ringkasan tersebut telah dibawa dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang telah bersidang pada 18 Julai 2019. Keputusan Mesyuarat MTES pada ketika itu memutuskan bahawa beberapa perkara dalam kertas ringkasan tersebut perlu diperhalusi sebelum diangkat semula ke Mesyuarat MMKN.

    Keluasan keseluruhan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan adalah 8,339.72 ha. Berdasarkan rekod jabatan sejumlah 3,160 ha telah diteroka untuk pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, pisang, serai, kunyit, halia dan lain-lain. Terdapat 436 permohonan untuk memperolehi permit penggunaan telah diterima melibatkan kawasan seluas 1,380 ha. Kumpulan peneroka yang memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk memperolehi Permit Penggunaan adalah seperti berikut :-

    • Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Kawasan Pantai Selangor
    • Penduduk Kampung Labohan Dagang
    • Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadum
    • Penduduk Kampung Sungai Kelambu
    • Penduduk Kampung Tanjung Sepat
    • Jabatan Pertanian Negeri Selangor – Projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)
    • Pemegang-pemegang Permit Penggunaan lama

    Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sedang memperhalusi opsyen-opsyen yang paling sesuai untuk menangani masalah-masalah yang sering timbul akibat penerokaan ini. Antara opsyen yang sedang dipertimbangkan adalah :-

    1. Penguatkuasaan dan menghutan semula secara Jabatan.
    2. Menggantikan kawasan penerokaan sebagai Ladang Hutan.
    3. Pemutihan melalui Permit Penggunaan jangka pendek.

Lampiran

Tiada Lampiran.