Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

4) PERMOHONAN BANTUAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR DITETAPKAN SEBANYAK RM3000 KE BAWAH, SEBAGAI BAWAH PARAS KEMISKINAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bolehkah di dalam setiap permohonan bantuan dari Kerajaan Negeri Selangor ditetapkan sebanyak RM3000.00 ke bawah, sebagai bawah paras kemiskinan?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2009 pada 7 Januari 2009 telah bersetuju dan memutuskan supaya Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor dinaikkan ke paras yang realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500.00. Justeru itu, PGK Selangor berjumlah RM1,500.00 seisi rumah ini dilihat jauh lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930.00 seisi rumah.

    Sebagai makluman, syarat kelayakan jumlah pendapatan seisi rumah bagi setiap program bantuan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah berbeza-beza mengikut program tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Jabatan/ Agensi masing-masing dan bukannya mengikut PGK Selangor RM1,500.00. Hal sedemikian adalah kerana fokus/ matlamat dan kumpulan sasaran bagi setiap program bantuan adalah berbeza. Sebagai contoh, terdapat program yang bertujuan untuk membantu golongan miskin tegar sahaja dan terdapat juga program yang membantu golongan berpendapatan rendah tidak terhad kepada golongan miskin tegar.

    Namun begitu, Kerajaan Negeri kini sedang melihat dan meneliti perkara ini secara lebih mikro bagi membolehkan penyelarasan dibuat dengan menyediakan dasar yang jelas untuk mengenalpasti insiden kemiskinan serta mengukur tahap keparahan kemiskinan seperti miskin dan sangat miskin secara lebih tepat supaya dapat digunapakai oleh semua Jabatan/ Agensi yang terlibat dengan program bantuan.

    Dasar ini perlu bersifat dinamik dan berupaya mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan kemiskinan. Ini seterusnya dapat membantu Kerajaan Negeri Selangor mengenalpasti SIAPA yang miskin dan MENGAPA berlakunya kemiskinan tersebut serta tahap keparahan kemiskinan isi rumah berkaitan. Impaknya, usaha pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih efektif.

Lampiran

Tiada Lampiran.