Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

100) PERMOHONAN BERJAYA DAN SENARAI MENUNGGU RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah permohonan Rumah Selangorku yang telah berjaya dan dalam senarai menunggu mengikut daerah projek serta apakah langkah yang diambil bagi memenuhi keperluan pemohon di dalam senarai menunggu?

    Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah permohonan Rumah Selangorku yang telah berjaya ditawarkan Rumah Selangorku sehingga 05 Oktober 2018 adalah seramai 23,658 pemohon. Manakala jumlah senarai menunggu mengikut daerah adalah sejumlah 117,561 pemohon seperti berikut :

    Antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan pemohon di dalam senarai menunggu melalui beberapa pendekatan seperti berikut ;

    1. Setiap pembangunan yang melebihi 2 ekar ke atas akan dikenakan syarat pembangunan Rumah Selangorku Jenis di antara 15% hingga 40% dalam kawasan pemajuan. Ini selaras dengan Pekeliling Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2018, Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 2.0).
    2. Menetapkan syarat dengan membina terlebih dahulu Rumah Selangorku di fasa awalan atau berserentak dengan pembangunan yang lain-lain
    3. Penawaran nama Rumah Selangorku hendaklah diperolehi 100% daripada Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi memastikan nama ditawarkan adalah golongan sasaran yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
    4. Proses penawaran nama juga diberikan kelonggaran syarat semasa Program Penawaran Terbuka dengan menaikkan syarat kelayakan jumlah pendapatan isi rumah daripada RM10,000-00 sebulan kepada tidak melebihi RM15,000-00 sebulan bagi membolehkan ramai golongan ini yang berkelayakan ditawarkan Rumah Selangorku.
    5. Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun. Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri melalui LPHS akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit. Sehingga kini, 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450.00 sebulan sehingga RM700.00 sebulan. Manakala pada Disember 2018 sebanyak 150 unit lagi dijangka akan disiapkan dan sedia untuk disewakan manakala bakinya sebanyak           341 unit masih dalam pembinaan dan dapat disiapkan untuk disewakan mulai tahun 2019 hingga 2020. Dengan keseluruhan unit yang terlibat dalam pembelian Skim Smart Sewa adalah sebanyak 832 unit.
    6. Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan.
    7. Pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui LPHS sedang mengadakan kerjasama dan perbincangan dengan pihak Maybank Berhad bagi mewujudkan satu skim sewa beli khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku. Secara langsung skim ini dapat membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM10,000-00 sebulan ke bawah untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku. Dengan ini, Kerajaan Negeri mampu memastikan sasaran menyediakan 30,000 unit Rumah Selangorku dalam tempoh 5 tahun dapat dicapai dengan lancar sejajar dengan penyediaan pinjaman yang lebih mudah dan fleksibel. Sehubungan dengan itu, perkara ini masih di peringkat perbincangan awalan dan memerlukan penelitian daripada semua pihak terlibat bagi memastikan mekanisma pelaksanaan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mencapai objektif yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri. Susulan daripada itu, perkara ini akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.