Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

148) PERNIAGAAN ONLINE

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan bantuan Kerajaan Negeri Selangor kepada para belia yang berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan online.

    Kerajaan Negeri melalui agensi-agensinya ada menyediakan beberapa platform perniagaan secara atas talian. Program-program ini disasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan anak muda. Antara platform perniagaan online yang disediakan adalah seperti berikut:

    i. KO-HIJRAH Selangor
    Agensi ini menyediakan platform jualan dan pemasaran produk usahawan di kedai serbaneka KO-HIJRAH Mart serta secara atas talian iaitu di KO-HIJRAH mall. Syarat kemasukan adalah minimum bagi memudahkan usahawan kecil menjual produk mereka.

    Bagi penyenaraian produk di KO-HIJRAH Mart syarat-syarat adalah seperti berikut:

    • Terbuka kepada usahawan yang menghasilkan produk;
    • Tiada had kuantiti produk;
    • Tempoh kredit 4 minggu;
    • Produk akan di pasarkan ke KO-HIJRAH mart dan atas talian seperti KO-HIJRAH Mall, SELDEC dan Food Panda.

    Kadar sewaan adalah mengikut kategori seperti berikut:
    • Barangan kering – RM600.00/setahun
    • Barangan kerepek – RM600.00/setahun
    • Barangan sejuk beku – RM600.00/setahun

    ii. Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE)
    Program ini bertujuan untuk membantu anak muda untuk mendapatkan lesen memandu bagi tujuan menjana ekonomi. Program ini dijalankan selaras dengan trend gig economy yang semakin meluas di Malaysia. Gig Economy merupakan sistem pasaran yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak pekerjaan tanpa bekerja sepenuh masa. Ini bermakna segmen industri ini lebih fleksibel dan dapat membuka ruang pekerjaan kepada suri rumah dan individu yang ingin mencari pendapatan tambahan. Contoh pekerjaan yang melibatkan gig economy seperti pemandu GRAB, penghantaran Food Panda dan lain-lain lagi. Segmen industri ini menjadikan peserta sebagai pihak ketiga yang menghubungkan pembeli kepada penjual. Ia mengunapakai sistem secara online untuk berkomunikasi dengan kedua belah pihak.

    iii. Selangor E-Supply Chain (SELDEC)
    Rentetan program RIDE peserta program tersebut dijadikan sebagai medium mobilasi produk bagi program Selangor E-Supply Chain (SELDEC). Di mana SELDEC merupakan platform jualan barangan pengguna secara atas talian dan peserta RIDE merupakan medium saluran penghantaran kepada pengguna.

    iv. SITEC Brands 100
    Program ini merupakan platform jualan atas talian yang disediakan oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-dagang Selangor (SITEC) di bawah Invest Selangor. Program ini diperkenalkan pada tahun 2020 untuk menggantikan Program SITEC Apps 100 yang pernah ditawarkan pada 2015 hingga 2019. Ia merupakan platform atas talian yang menghimpunkan platform jualan lain seperti Shopee, Lazada dan Youbeli. Usahawan yang menyertai program ini akan diberi latihan untuk menjual produk mereka secara atas talian. Program ini menyediakan kitaran yang lengkap kepada usahawan yang ingin menjual produk mereka bermula dari tempahan produk, medium pembayaran sehingga penghantaran kepada pembeli.

Lampiran

Tiada Lampiran.