Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

212) PERPADUAN DAN KEHARMONIAN HIDUP RAKYAT SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan program komprehensif Kerajaan Negeri untuk mempastikan Rakyat Selangor hidup berkeadaan harmoni, bahagia dan kesejahteraan dibawah pimpinan Pakatan Rakyat / Pakatan Harapan?

    (a) dan (b) bersekali.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan rakyat Selangor berpeluang untuk mengecap kebahagiaan dan hidup dalam suasana harmoni dan sejahtera melalui beberapa dasar dan program yang telah dilaksanakan secara komprehensif. Jika dilihat dari segi pembahagian peruntukan yang dibentangkan pada setiap tahun, jelas menunjukkan usaha Kerajaan Negeri untuk menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Berkat kewangan yang kukuh hasil dari tadbir urus yang cekap membolehkan perancangan strategik berlandaskan keharmonian rakyat dirangka bagi memenuhi keperluan dari setiap kelas golongan. Usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri adalah sebahagian daripada peranan Kerajaan Negeri Selangor bagi memperkukuhkan agenda keadilan sosial khususnya program berpaksikan rakyat seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan.

    Menyedari peranan strategik yang perlu dimainkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mencapai keadilan sosial sebagai asas pembangunan bangsa dan kemakmuran negeri, Program Insentif Peduli Rakyat (IPR) telah diwujudkan bagi menerajui program kebajikan yang bersifat holistik pada tahun 2017. Program ini merupakan program yang telah dijenamakan semula dan diperhebatkan daripada Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang telah diwujudkan sejak tahun 2008 supaya lebih bersepadu dan menyeluruh dalam membantu setiap aspek keperluan golongan sasar untuk meningkatkan potensi dan meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencengkam semenjak pengenalan GST oleh Kerajaan Persekutuan. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli rakyat, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya di kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Antara inisiatif yang telah diperkenalkan adalah:

     

    • Skim Smart-Sewa

    Skim Smart-Sewa merupakan program Kerajaan Negeri yang diwujudkan untuk membantu rakyat yang berpendapatan sederhana menyewa selama minima 2 tahun dan maksima 5 tahun. Dalam tempoh yang berkenaan, apabila penyewa mempunyai keupayaan untuk membeli rumah, maka 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan akan dipulangkan balik kepada penyewa untuk digunakan sebagai deposit membeli kediaman baru. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk melancarkan Skim Smart-Sewa. Memandangkan skim ini mendapat sambutan baik dari golongan millennials, pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan Skim Smart-Sewa kepada RM100 juta untuk membeli unit-unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepada mereka yang berkelayakan. Sehingga November 2017, sebanyak 861 unit rumah mampu milik telah dimiliki oleh LPHS dengan kos pembelian bernilai RM123.14 juta. Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi skim ini. Kerajaan Negeri meneruskan skim ini bagi tahun 2018 dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.

     

    • Skim Kesihatan Bersepadu

    Atas pertimbangan moral dan tanggungjawab sosial, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan beberapa skim bagi meringankan bebanan rakyat dari aspek kesihatan. Bermula dengan program Dialisis Selangor, Bantuan Sihat Selangor, Saringan Sihat Selangor dan MammoSel, kini Kerajaan Negeri sedang rancak melaksanakan Skim Peduli Sihat sebagai satu skim perlindungan rawatan kesihatan asas yang mendapat pengiktirafan Persatuan Perubatan Malaysia. Skim ini mendapat sambutan gemuruh dan menyentuh hati rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan rawatan kesihatan asas. Sehingga 31 Oktober 2017, sebanyak 149,382 kad telah dikeluarkan untuk memberi manfaat kepada hampir 600,000 orang. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri bertekad untuk meneruskan pelaksanaan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM20 juta dan pemegang kad adalah layak secara automatik mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma.

    Berdasarkan keperluan mendesak untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu skim penjagaan kesihatan yang bersepadu (integrated healthcare scheme) untuk memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan. Antara program penjagaan kesihatan yang dilaksanakan adalah rawatan jantung, suntikan vaksin, aktiviti kawalan dan pencegahan denggi, bantuan kepada rawatan dialisis dan katarak mata serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah, manakala penjagaan kesihatan mental dan perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

     

    • Mempelbagai Kemudahan Pendidikan

    Kerajaan Negeri percaya pendidikan merupakan tulang belakang kepada negara dan ekonomi yang sedang membangun. Atas sebab itu, fokus diberikan kepada pendidikan menengah untuk menjamin semua rakyat mendapat peluang pendidikan di peringkat lebih tinggi. Program Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT) adalah insentif kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA atau IPTS. Sejak diperkenalkan, seramai 63,304 mahasiswa telah menerima manfaat HPIPT dengan perbelanjaan sebanyak RM63.3 juta. Pada tahun 2018, siling kelayakan pendapatan isi rumah keluarga bagi program ini dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 dan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM8 juta. Pada tahun 2017, program Tuisyen Rakyat Selangor diperluaskan kepada pelajar-pelajar UPSR, PT3 dan SPM yang melibatkan 4,775 orang pelajar dengan perbelanjaan sebanyak RM3.4 juta. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3.9 juta untuk meneruskan program ini. Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program tuisyen atas talian (online tuition) secara percuma. Pada tahun 2017, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan untuk 2,355 orang pelajar SPM. Untuk tahun 2018, program ini diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.

     

    • Program-program Berimpak Tinggi

    Kerajaan Negeri meneruskan program pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Selangor dengan peruntukan sebanyak RM185.2 juta disediakan untuk maksud ini bagi tahun 2018. Untuk membantu ibu bagi setiap keluarga di atas pengorbanan dan perit jerih mereka khususnya yang berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah, maka Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif baru iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan memberdaya ibu-ibu di Selangor sebagai pengurus kewangan untuk keluarga masing-masing. Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan. Melalui Kad KISS, 30,000 ibu di Selangor mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di pasaraya dan kedai runcit yang akan dikenalpasti. Usaha ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Peduli Rakyat yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM72 juta. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri komited untuk memulakan inisiatif ini bagi suku tahun pertama 2018 dengan pembiayaan sebanyak RM18 juta.

    Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan, jelas menunjukkan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri banyak tertumpu kepada usaha untuk memastikan rakyat Negeri Selangor hidup dalam keadaan harmoni, bahagia dan sejahtera. Kerajaan Negeri pasti inisiatif-inisiatif yang telah dirangka ini akan membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi cabaran menempuh kehidupan yang semakin menghimpit ekoran ekonomi Malaysia yang terumbang- ambing.

Lampiran

Tiada Lampiran.