Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

10) PERPADUAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Perpaduan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Selangor.

    Perpaduan adalah matlamat utama rakyat Malaysia. Penduduk Negeri Selangor adalah bersifat pluralistik iaitu terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan adat resam. Kepelbagaian ini merupakan keunikan yang menjadi aset kekuatan yang dibudayakan ke arah pemupukan semangat perpaduan yang kita miliki hari ini.

    Landskap persekitaran kita yang aman damai dan harmoni ini adalah berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang dijadikan sebagai teras budaya dan gaya hidup penduduk Negeri Selangor.

    Tindakan Usaha Menyemarakkan Perpaduan

    Sebagai agensi peneraju perpaduan, pihak Jabatan Perpaduan sentiasa berusaha dengan gigih dalam memastikan kesepaduan sosial terus terpelihara dan dipupuk melalui aktviiti-aktiviti penyatupaduan bermula di peringkat akar umbi. Penekanan konsep penerimaan dan tolak ansur diterapkan dalam semua lapisan masyarakat untuk mengukuhkan hubungan dikalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan adat resam.

    Rukun Tetangga (RT) adalah jawatankuasa sukarela di peringkat akar umbi dan kawasan kejiranan yang melaksanakan aktiviti-aktiviti pemupukan perpaduan dan pengurusan penyelesaian masalah untuk mencapai kesejahteraan sosial dalam sesebuah komuniti. Sehingga Disember 2019 di Selangor ada sebanyak 1075 kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan sebanyak 5758 aktiviti telah dilaksanakan di peringkat akar umbi yang meliputi 10 bidang utama iaitu sukan, rekreasi, sosial, kebajikan, kebudayaan, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, ekonomi dan bidang agama. Penglibatan masyarakat dalam program anjuran Rukun Tetangga ini adalah melibatkan penyertaan setiap lapisan masyarakat iaitu jiran muda, jiran wanita, jiran usia emas dan tunas jiran. Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga memainkan peranan serius dalam memastikan penglibatan segenap pemastautin dalam sempadan KRT dilibatkan dalam setiap aktiviti. Adalah menjadi tanggungjawab ahli jawatankuasa KRT merancang serta menjayakan aktiviti secara berfokus dan memastikan tiada pemastautin atau pihak yang dipinggirkan dalam menikmati segala manfaat dan impak aktiviti yang dilaksanakan.  Jabatan merekodkan bahawa penyertaan sebanyak 463,693 orang telah dilibatkan bersama dalam aktiviti Rukun Tetangga Selangor sepanjang tahun 2019.

    Program pendidikan keselamatan kejiranan melalui skim rondaan sukarela (SRS) juga merupakan antara usaha jabatan dalam menerapkan pemekaan kesedaran menjaga keselamatan dalam kawasan kejiranan. Di Negeri Selangor ada sebanyak 630 pasukan SRS yang menjalankan aktiviti rondaan dan program pendidikan keselamatan di seluruh daerah. Perlaksanaan aktiviti pendidikan keselamatan yang dilaksanakan bersama PDRM secara strategik ini dapat meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab masyarakat bersama-sama dalam menjaga keselamatan dan seterusnya dapat meningkatkan rasa selamat penduduk dalam sesebuah kawasan Rukun Tetangga. Peningkatan rasa selamat penduduk membolehkan masyarakat khususnya dalam kawasan KRT menjalani kehidupan dengan selesa dan harmoni.

    Dalam usaha memastikan semua rakyat menikmati kesejahteraan sosial dan meningkatkan kualiti hidup komuniti maka Program Sayangi Komuniti (PSK) dilaksanakan di kawasan Rukun Tetangga yang berisiko tinggi dan mempunyai komuniti bottom 40 (B40) di bandar dan pinggir bandar. Melalui program ini segala isu dan permasalahan komuniti diurus dan diselaras dengan jaringan  strategik dengan pelbagai agensi dan badan korporat oleh jawatankuasa Rukun Tetangga kawasan berkenaan. Ini adalah usaha menyemarakkan peranan “daripada komuniti untuk komuniti” dilaksanakan dalam memperkasakan terjemahan perpaduan adalah tanggungjawab bersama. Pengurusan inventori permasalahan rakyat secara tersusun dan strategik ini dapat mengurangkan ketegangan masyarakat malah dapat mengukuhkan lagi hubungan komuniti antara satu sama lain dalam kawasan kejiranan berkenaan. Di Selangor ada sebanyak 39 kawasan  PSK iaitu :

    • Petaling : 19 PSK
    • Klang : 6 PSK
    • Gombak: 4 PSK
    • Sepang : 4 PSK
    • Hulu Langat: 3 PSK
    • Kuala Langat : 2 PSK
    • Kuala Selangor: 1 PSK

     

    Jabatan Perpaduan juga sentiasa menerapkan nilai-nilai patriotisme dan elemen silang budaya untuk mengukuhkan lagi semangat perpaduan dihati dan jiwa masyarakat kita. Program pengukuhan nilai-nilai murni dan perpaduan ini dilaksanakan dan difokuskan kepada jiran muda dan pelajar yang merupakan pewaris dan pemimpin kita dimasa hadapan. Oleh itu dalam menyiapkan modal insan yang berkualiti maka program berteraskan pengetahuan, pemahaman dan penghayatan prinsip Rukun Negara ini dilaksanakan melalui platform Sekretariat Rukun Negara (SRN) di Institut pengajian Tinggi (IPT) dan  platform Kelab Rukun Negara (KRN) di sekolah rendah dan sekolah menengah. Penghayatan dan penerimaan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan adat resam melalui aktiviti silang budaya sangat penting untuk memastikan masyarakat kita sentiasa bersikap professional dan berfikiran positif dalam pergaulan dan komunikasi antara satu sama lain tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

    Selain daripada itu, pihak jabatan juga sentiasa melaksanakan program penghayatan Rukun Negara dan literasi Perlembagaan Persekutuan dengan kerjasama pelbagai agensi swasta, NGO dan badan-badan korporat di Negeri Selangor. Ini adalah antara usaha bersama dalam menerapkan elemen perpaduan di segenap lapisan masyarakat. Program penghayatan Rukun Negara sentiasa disemarakkan bersama rakan-rakan perpaduan ini untuk menyemarakkan semangat perpaduan agar sentiasa mekar dalam masyarakat kita.

    Program pendidikan perpaduan di Tabika Perpaduan juga antara usaha jabatan menerapkan elemen nilai murni dan patriotisme bermula diperingkat awal persekolahan. Di Selangor ada sebanyak 182 kelas Tabika Perpaduan dengan bilangan kanak-kanak daripada pelbagai etnik seramai 4,196 kanak-kanak direkodkan pada pendaftaran awal tahun 2020. Kanak-kanak seawal usia 4 hingga 6 tahun diberi penekanan kepada pemupukan, menyemai, semangat kejiranan dan pendedahan hidup bermasyarakat bersama kawan-kawan yang berlainan etnik, agama, budaya dan adat resam. Pemupukan seawal usia ini penting dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing dan berfikiran positif.

    Penutup

    Usaha penyatupaduan dalam masyarakat kita untuk menyemarakkan semangat perpaduan adalah tanggungjawab semua orang dalam memastikan kelestarian keharmonian dan kedamaian yang kita ada pada hari ini. Semua pihak perlu tampil berkerjasama menjulang semangat kenegaraan dengan jujur ikhlas untuk memastikan perpaduan yang diidamkan oleh semua rakyat Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.