Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

288) PERSEMPADANAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini isu persempadanan wilayah antara Selangor dan Kuala Lumpur?

    Untuk makluman Yang Berhormat, status terkini bagi persempadanan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah di peringkat untuk memuktamadkan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU-2) [Setuju Hasrat Penandaan dan Ukur] dan Bidang Tugas (ToR) secara bersama dengan pihak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kerajaan Negeri Selangor telah bersedia pada bila-bila masa yang bersesuaian setelah dipersetujui oleh pihak Wilayah Persekutuan untuk menandatangani dokumen tersebut bagi membolehkan pihak JUPEM menjalankan kerja-kerja di lapangan bagi menanda dan mengukur sempadan negeri.

    Bagi persempadanan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ianya melibatkan prsoes MoU-2 [Setuju Hasrat Penandaan dan Ukur] dan ToR. Setelah semua proses penandaan dan pengukuran dan Pelan Kerja disiapkan, MoU-3 [Setuju Terima Ukuran Baru] dan Perjanjian Sempadan akan ditandatangani.

    Di peringkat permulaan proses, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Selangor mengenal pasti kawasan-kawasan yang hendak diukur dengan membuat kajian dan semakan serta siasatan termasuk mendapatkan dokumen-dokumen lama (sejarah) berhubung jajaran sempadan negeri dahulu yang pernah dimeterai oleh kedua-dua pihak.

    Terdapat tiga (3) jawatankuasa yang ditubuhkan dan terlibat dengan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri Antara Negeri Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) iaitu berikut:

    1. Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT);
    2. Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri (JPPSBN); dan
    3. Jawatankuasa Kebangsaan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri (JKPPSBN)

     

    Beberapa siri mesyuarat, perbincangan dan rundingan untuk memuktamadkan kawasan jajaran sempadan yang hendak diukur telah diadakan antara kedua-dua pihak Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dihadiri oleh beberapa agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

    Laporan berhubung Memorandum Persefahaman dan Bidang Tugas Bagi Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri Antara Negeri Selangor Dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga turut telah disembah maklum kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor oleh pada 13 Januari 2015 dan    5 April 2019 buat kali kedua.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor buat pertama kalinya telah menimbang dan meluluskan cadangan Memorandum Persefahaman dan Bidang Tugas Bagi Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri Antara Negeri Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) pada 13 Jun 2012, dan turut diangkat untuk kali kedua dan diluluskan pada 26 Jun 2019.

    Sesungguhnya Kerajaan Negeri Selangor sangat komited untuk menyelesaikan urusan memuktamadkan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri Antara Negeri Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Lampiran

Tiada Lampiran.