Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

169) PERSISIRAN PANTAI TERHAKIS

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri memantau persisiran pantai yang terhakis di Selangor?

    LUAS telah menyediakan Pelan Risiko Bencana Kawasan Pantai Negeri Selangor yang merangkumi bencana-bencana yang berisiko untuk berlaku di kawasan pantai negeri termasuklah hakisan dan pemendapan. Pelan ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah LUAS Bil. 2/2015 yang bersidang pada 28 Ogos 2015 dan dipengerusikan oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar. Hasil daripada kajian yang dijalankan, kawasan pantai di Negeri Selangor telah mengalami hakisan dan pemendapan yang agak ketara. Ada di antara kawasan pantai yang mengalami hakisan pada tahap kritikal seperti di Bagan Beting Kepah, Bagan Sg. Burung hingga ke Sg. Limau, Bagan Sg. Besar, Sg. Hj. Sirat, Morib, dan Batu Laut hingga ke Sg. Manggis. Bagan Sg. Burung merupakan antara kawasan pantai yang paling teruk terhakis dengan purata hakisan setahun sebanyak 14.40

    Melalui penyediaan pelan tersebut, strategi pencegahan dan mitigasi telah dihasilkan bagi mengurangkan impak bencana-bencana yang berisiko untuk berlaku terhadap kawasan pantai di Negeri Selangor. Selain daripada itu, satu Garis Panduan Pembangunan Bagi Kawasan Berisiko Bencana juga telah dihasilkan yang boleh dijadikan rujukan oleh semua pihak berkepentingan dan pemaju-pemaju di dalam sebarang perancangan pembangunan yang dicadangkan.

    Pelaksanaan Pelan Risiko Bencana Kawasan Pantai ini akan diselaraskan melalui Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu yang telah diwartakan dan diguna pakai oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2007 secara berperingkat yang dimulai dengan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Pelabuhan Klang (Klang & Kuala Langat), Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Kuala Selangor & Sabak Bernam dan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Sepang.

Lampiran

Tiada Lampiran.