Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

122) PERTANIAN BELIA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan langkah-langkah Kerajaan Negeri bagi menggalakkan belia menjalankan aktiviti dan perusahaan pertanian.

    Sektor pertanian adalah merupakan sektor terpenting di dalam memastikan bekalan makanan negeri dan negara berada pada paras yang mencukupi. Bagi memastikan objektif tersebut tercapai, Dasar Pertanian Negeri Selangor yang merangkumi 5 elemen penting telah digariskan iaitu :-

    1. Pertanian Bernilai Tinggi;
    2. Pemodenan Pertanian;
    3. Pemasaran;
    4. Pembangunan Agropreneur; dan
    5. Agro Pelancongan.

    Melalui dasar tersebut, penglibatan golongan belia amat diberikan perhatian dan galakan untuk mereka ceburi dengan menjadikan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama mereka.

    Bagi menarik golongan tersebut juga, penggunaan peralatan-peralatan moden telahpun diperkenalkan seperti penggunaan Sistem Internet Of Things atau lebih dikenali sebagai IoT telah mula mengambil tempat di dalam projek-projek pertanian seperti tanaman berkonsepkan fertigasi, hidroponik dan akuaponik. Penggunaan peralatan-peralatan moden tersebut atau lebih dikenali sebagai gajet pertanian telah menarik minat golongan belia sebagai contoh pengawalan suhu, nutrien tanah, penyakit dan penggunaan baja boleh dikawal menggunakan sistem di atas talian sahaja.

    Sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri telahpun menyediakan sebuah kawasan khusus untuk pelaksanaan projek tersebut iaitu di bawah Program Pembangunan Agropreneur Projek Tanaman Golden Melon yang terletak di Selangor Fruit Valley milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di mana tapak projek tanaman menggunakan kaedah penanaman secara hidpronik dengan penggunaan peralatan airhydroport yang boleh dikawal penggunaan baja dan dalam masa yang sama juga boleh mengurangkan penggunaan air selaras dengan amalan precision agriculture. Program tersebut akan melibatkan seramai 4 agropreneur pada satu-satu masa.

    Selain dari itu, kawasan-kawasan baharu untuk pertanian juga telah mula dikenalpasti seperti di Sungai Ayer Tawar dan Sg. Panjang di Daerah Sabak Bernam serta di Daerah Hulu Selangor untuk pelaksanaan projek-projek pertanian yang akan disyaratkan untuk dilaksanakan secara moden dan mempunyai potensi pemasaran yang sangat baik (market driven).

Lampiran

Tiada Lampiran.