Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

2) PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menangani perubahan iklim dan kesannya terhadap kehidupan manusia?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebanyak 32 program telah dirancang sepanjang tahun 2019 dalam usaha Kerajaan Negeri untuk melestarikan alam sekitar dan menangani perubahan iklim dan pemanasan bumi. Selain itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan kepada Pejabat Daerah/ Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan serta Agensi Kerajaan Negeri Selangor bagi melaksanakan program-program tersebut dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, UPEN.

     

    Antara program yang telah dijalankan adalah Program Pembersihan, Pemuliharaan Dan Pembangunan Sungai Sepang Besar 2019; Kempen Tanam Pokok Warisan Hutan Di Hutan Pendidikan Bkt Gasing dan Hutan Eko Rimba Kota Damansara; Penyediaan Kabin Kitar Semula Bandar Bukit Puchong; serta Program Kesedaran Penanaman Pokok Bakau dan Pokok Berembang Di Persisiran Pantai BNO.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Program Tanam Pokok Dalam Bandar Negeri Selangor Bersama D.Y.M.M. Sultan Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) pada 21 Julai 2019 bertempat di Cyberjaya, Sepang dan sebanyak 4,500 pokok yang telah ditanam.

     

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kesan yang akan dialami dalam kehidupan manusia sekiranya perubahan iklim dan pemanasan bumi dapat ditangani adalah seperti corak cuaca yang baik dan kenaikan paras air laut mengikut paras yang betul. Bencana alam seperti taufan, kebakaran hutan dan kemarau tidak akan dialami sekiranya dapat dibendung oleh masyarakat. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha dan meneruskan usaha dalam menangani perubahan iklim dan kesannya terhadap alam sekitar.

     

     

    JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SELANGOR

    1. a) Dalam usaha kerajaan Negeri dalam menangani perubahan iklim dan kesannya terhadap kehidupan manusia, Kerajaan Negeri telah menjalankan berbagai program di antaranya:-

     

    1. Melalui Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya adalah contoh Pihak Berkuasa Tempatan yang telah menganjurkan program Hari Tanpa Kenderaan dalam usaha untuk menangani isu pelepasan gas Hidrokarbon (HC) dan Karbon Monoksida (CO) ke atmosfera yang merupakan salah satu penyebab kepada pemanasan global yang kita hadapi kini. Sekaligus ia mengurangkan “Carbon Footprint” yang terhasil akibat pembakaran bahan api petrol atau diesel kenderaan tersebut.

     

    1. Selain daripada itu usaha Jabatan Alam Sekitar Selangor adalah melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas kenderaan bermotor diesel dan petrol bagi memastikan asap kenderaan bermotor tidak mengandungi gas Hidrokarbon (HC) dan Karbon Monoksida (CO) yang melebihi piawai yang ditetapkan. Penguatkuasaan Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia telah diadakan pada 24 September 2019 di Puchong Perdana dan Operasi Kenderaan Diesel diantara JAS Selangor dan Peronda Lebuhraya Malaysia, Bukit Aman diadakan pada 22 Oktober 2019 untuk menguatkuasakan AKAS 1974.

     

    • Pelepasan asap dari cerobong kilang industri dan kilang kelapa sawit juga dipantau melalui pelaporan pemantauan kualiti udara oleh industri dan juga sistem yang dipasang oleh kilang iaitu Continous Emission Monitoring System (CEMS).

     

    1. Pembakaran terbuka juga memberi kesan kepada perubahan iklim dan JAS sentiasa memantau aktiviti ini dan penguatkuasaan dijalankan sepanjang tahun dalam usaha mencegah pembakaran terbuka.

     

    1. Program kesedaran alam sekitar juga sering membabitkan aktiviti penanaman pokok dan pemberian pokok sebagai cenderahati kepada peserta program dalam usaha menggalakkan masyarakat untuk menanam pokok dan sekaligus menangani masalah perubahan iklim. Contoh Program Kesedaran yang telah dijalankan adalah Hari Alam Sekitar Sedunia di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27, Shah Alam pada 25 Julai 2019 yang melibatkan aktiviti penanaman pokok di sekitar sekolah yang bersebelahan dengan kilang industri.
    2. Pelbagai aktiviti dan program lain melalui kerajaan dan NGO telah diadakan untuk menangani isu perubahan iklim. Contoh program yang dijalankan adalah Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran syarikat Ecobio Pack Sdn Bhd dan NGO Pawana pada 26 Oktober 2019 di Subang Jaya yang menekankan amalan tiada penggunaan straw dan beg plastik semasa membeli belah.

     

    • Selain itu, pada tahun lepas, Kerajaan Negeri Selangor yang merupakan negeri pertama yang telah bekerjasama dengan Persatuan Arborist Malaysia bagi melaksanakan Kursus Pensijilan Arborist kepada semua PBT Negeri Selangor. Seramai 24 orang wakil daripada PBT telah mengikuti kursus ini dan usaha ini membuktikan Kerajaan Negeri komited dalam memastikan semua proses penanaman, pengurusan, penebangan dan pemuliharaan pokok yang dilaksanakan di peringkat PBT Negeri Selangor dilakukan dengan betul dan menggunapakai standard antarabangsa.

     

    • Di samping itu juga, Kerajaan Negeri Selangor juga antara Negeri yang proaktif dalam melaksanakan usaha pengurangan pengeluaran karbon selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia di Persidangan Ke-21 Negara Parti (COP21) untuk mengurangkan intensiti pengeluaran karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahun 2009.

     

    1. Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan dan melaksanakan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018. Pelan ini mengandungi 7 elemen tindakan utama yang memberi fokus kepada pengurangan emisi karbon, penggunaan tenaga, air dan sisa.

     

    1. 7 elemen utama tersebut adalah Perbandaran Hijau Melalui Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF), Perolehan Hijau Kerajaan, Pemasangan Rangkaian Pengecas Kenderaan Elektrik, Penggunaan Bas Elektrik Bagi Program ’Bas Percuma’ Di PBT, Pemasangan Bumbung Solar Bagi Projek Perumahan Selangorku, Bangunan Cekap Tenaga Di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor dan Program Penghijauan Taman Industri.

     

    1. Kerajaan Negeri mensasarkan semua PBT Negeri Selangor akan melaksanakan Kerangka Bandar Rendah Karbon (Low Carbon City Framework – LCCF) menjelang tahun 2020. Sehingga kini, 7 daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor telah menerimapakai Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) iaitu MBSA, MBPJ, MPSJ, MPAJ, MPK, MPKJ dan MPSP. Manakala PBT-PBT lain dalam sedang menyiapkan projek Kerangka Bandar Rendah Karbon mereka.

     

    • Selain itu, sebanyak 112 buah pengecas kenderaan elektrik telah dipasang di seluruh Negeri Selangor. Keadaan ini telah menjadikan Negeri Selangor sebagai Negeri yang mempunyai rangkaian pengecas kenderaan elektrik terbesar di Malaysia.

     

    • Perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di seluruh Negeri Selangor juga merupakan inisiatif utama Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan masyarakat dan usaha ini juga dapat mengurangkan pengeluaran karbon di kawasan bandar.

     

    • Bagi menggalakkan penggunaan produk dan peralatan yang mesra alam, lebih cekap tenaga dan mengurangkan penggunaan sumber air. Kerajaan Negeri telah melaksanakan projek pemasangan produk teknologi hijau di seluruh Negeri Selangor. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah memasang 21 Sistem Penuaian Air Hujan di Bangunan Kerajaan, 30 Projek Sistem Solar dan melaksanakan 11 projek bangunan cekap tenaga di bangunan Pejabat Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

     

    1. Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Tanam Pokok Negeri Selangor Tahun pada tahun 2018 – 2019 Bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan jumlah keseluruhan pokok yang ditanam adalah sebanyak 5,000 pokok.

     

    Segala usaha ini amatlah diharapkan dapat membantu Kerajaan Negeri dalam menangani isu perubahan iklim ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.