Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

176) PERUBAHAN TRANSFORMASI (TRANSFORMATIONAL CHANGE)

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan rancangan kerajaan dalam mentransformasikan sektor perindustrian?

    Pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor sentiasa mencatatkan pencapaian yang
    memberangsangkan dari setahun ke setahun. Perkembangan yang positif ini adalah
    kerana disokong prestasi kukuh sektor perindustrian yang dipacu oleh subsektor
    pembuatan dan pembinaan. Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan prioriti kepada sektor
    perindustrian yang berperanan sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam
    Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor. Negeri Selangor mempunyai lebih kurang 219
    kawasan perindustrian dengan jumlah keluasan tanah melebihi 13,000 hektar. Pada
    ketika ini, 4 kawasan perindustrian dan perdagangan bebas telah diwujudkan seperti di
    Sungai Way, Hulu Klang, Telok Panglima Garang, dan Pelabuhan Klang.
    Kini, sektor perindustrian di Negeri Selangor dipelopori oleh pembuatan komponen dan
    produk berasaskan elektrik dan elektronik. Kerajaan Negeri tidak akan terlalu
    bergantung pada pembuatan yang berasaskan elektrik dan elektronik semata-mata
    kerana sektor pembuatan ini mempunyai saingan yang hebat daripada negara-negara
    jiran seperti Thailand dan China yang mampu menyediakan kos tenaga buruh yang jauh
    lebih murah.
    Kerajaan Negeri menerusi Selangor State Investment Centre (SSIC) akan terus
    berusaha dari semasa ke semasa menggalakkan pertumbuhan sektor perindustrian
    Negeri Selangor dengan mentransformasikan sektor perindustrian kepada aktiviti
    perindustrian yang lebih berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan
    berorientasikan modal dan mesra alam. Penggalakan akan sentiasa diberikan ke atas
    penglibatan industri-industri baru dan berpotensi besar untuk dikembangkan di negara
    ini seperti industri bio-teknologi, industri penerbangan dan Green-Industry seperti
    industri solar. Selain daripada itu, Kerajaan turut memberikan perhatian ke atas
    pertumbuhan sektor perkhidmatan seperti Perkhidmatan Pelancongan, Perkhidmatan
    Pendidikan dan Latihan, Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan dan Perkhidmatan
    Logistik yang dilihat semakin penting dan mendapat tempat di kalangan masyarakat
    pada masa ini.
    Sebagai nadi utama penggerak ekonomi negeri, Kerajaan akan memastikan sektor
    perindustrian di Negeri Selangor bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengeluaran
    produk dan perkhidmatan yang terbaik, malah setiap pengeluaran yang dilakukan
    mampu mewujudkan nilai tambah kepada pasaran produk khasnya, masyarakat dan
    negeri secara amnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.