Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

143) PERUMAHAN

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan dan tindakan kerajaan untuk mengawal harga rumah daripada dijual dengan harga yang begitu mahal?

    Kerajaan Negeri sentiasa sedar tentang peningkatan harga jualan yang semakin melambung tinggi. Oleh itu, bagi membantu rakyat di Negeri Selangor berpeluang memiliki rumah, Kerajaan Negeri telah menetapkan Dasar khusus bagi pembangunan tanah. Pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana. Manakala bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang.

    Selain daripada penetapan komposisi pembangunan perumahan tersebut, harga jualan maksimum terhadap rumah mampu milik turut ditetapkan. Harga jualan rumah mampu milik tersebut ditetapkan pada harga seperti berikut:

    Kawasan   Jenis Bangunan Harga (RM)
    Dalam         kawasan

    Perbandaran

    Klang)

    Majlis

    (Lembah

    20% rumah kos rendah 42,000.00
    20% rumah kos sederhana rendah 72,000.00
    10% rumah kos sederhana 100,000.00
    Lain-lain      jenis           bangunan kediaman Bebas
    Dalam           kawasan Daerah Majlis 20% rumah kos rendah 35,000.00
    20% rumah kos sederhana rendah 60,000.00
    10% rumah kos sederhana 85,000.00
      Lain-lain        jenis             bangunan kediaman Bebas
    Luar kawasan Majlis Daerah / Majlis Perbandaran 20% rumah kos rendah 30,000.00
    10% rumah kos sederhana rendah 50,000.00
    10% rumah kos sederhana 70,000.00
    Lain-lain        jenis             bangunan kediaman Bebas

    Bermula tahun 2010 Kerajaan Negeri juga mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Rumah Mampu Milik Selangor Konsep Baru dengan reka bentuk baru yang lebih mampan dan kondusif sebagai salah satu pilihan kepada pemaju untuk meneruskan penyediaan perumahan yang mampu milik khususnya kawasan-kawasan yang didapati kurangnya atau melebihi permintaan terhadap rumah kos rendah dengan harga jualan yang ditetapkan tidak melebihi RM150,000.00 seunit. .

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengambil langkah untuk mengkaji semula dasar-dasar perumahan sedia ada dengan menggantikannya dengan dasar yang lebih komprehensif dengan penekanan kepada perumahan mampu milik yang pelbagai jenis dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit. Melalui dasar baru kelak diharapkan akan dapat membantu golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan di bawah RM8,000.00 sebulan.

    Bagi tujuan pengawalan pula, segala syarat penetapan komposisi pembinaan rumah dan harga jualan rumah akan dimasukkan dalam sebarang kelulusan pemberimilikan dan pembangunan tanah untuk tujuan pengawalan oleh semua pihak terlibat yang memberi kelulusan pelan pembangunan. Sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri akan memberi kesan terhadap proses pindah milik daripada pemaju kepada pembeli pertama.

    Oleh yang demikian, pengawalan harga jualan rumah hanya difokuskan kepada rumah-rumah yang dikategorikan mampu milik sahaja yang mana pemilikan dikawal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Manakala rumah-rumah yang dikategorikan harga bebas, pemaju berhak untuk menentukan harga jualan berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.